Oleh Nurhasyima Hasim
Pastikan kegiatan pelajar lancar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta menyegerakan pembayaran geran yang dijanjikan sebelum ini kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban perbelanjaan sekolah dalam penganjuran aktiviti pelajar.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata penangguhan bayaran yuran tambahan PIBG oleh ibu bapa mulai Januari hingga pertengahan tahun depan yang dilakukan Kementerian Pelajaran baru-baru ini juga antara faktor pemberian geran itu perlu dipercepatkan.
"Pemberian geran itu pernah disuarakan bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail pada awal tahun ini tetapi sehingga kini tiada langkah susulan dilakukan berhubung pemberian peruntukan itu.
"Walaupun, sekolah dibenar bekerjasama dengan pihak luar atau swasta, kutipan yang diperoleh tidak semestinya mencukupi untuk menampung semua kegiatan selain mungkin timbul kesukaran mendapatkan sumbangan atau penaja jika sekolah terletak di kawasan luar bandar dengan penduduk berpendapatan rendah.
"Kita mahu lahirkan pelajar holistik dari pelbagai aspek dan tidak mahu hanya disebabkan masalah peruntukan seperti ini membantutkan aktiviti pembelajaran pelajar," katanya di sini, semalam.
Katanya, kementerian juga diminta menetapkan jumlah dan had bayaran tambahan PIBG yang perlu dikutip selepas tamat tempoh penangguhan bayaran itu bagi memastikan jumlahnya lebih adil dan tidak membebankan ibu bapa.
Berita Harian Online: 24 Disember 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan