KENYATAAN Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan digantikan dengan satu sistem penilaian baru mulai 2015 sangat dialu-alukan. Sejak tahun 10 tahun lalu cadangan pemansuhan UPSR telah disuarakan oleh ramai pakar pendidikan tempatan.
Walaupun penilaian bentuk baru itu diyakini akan mengubah cara kerja lama, tetapi sebenarnya ia masih lagi bersifat penilaian yang mirip kepada UPSR. Tinggal lagi ada tambahan di mana digabungkan dengan empat komponen baru iaitu psikometrik, kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian.
Penilaian bentuk baru itu juga akan diuruskan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Maka selain penilaian akademik masih ala-UPSR, komponen penilaian sekolah dan kementerian turut juga menekankan soal akademik semata-mata.
UPSR mula diperkenalkan apabila pihak Kementerian Pelajaran mula melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada 1983. Konsep utama KBSR ialah melaksanakan satu sistem pendidikan berintegrasi dan bersepadu antara setiap matapelajaran. Penekanan utama ialah menjayakan konsep 3M (membaca, menulis dan mengira).
Harapan pihak berwajib ialah dengan integrasi ilmu yang disampaikan melalui KBSR maka pembangunan pelajar yang dilahirkan akan lebih holistik. Malangnya sistem KBSR yang menekankan integrasi ilmu tidak pula diakhiri dengan satu sistem penilaian yang bersepadu sejak 25 tahun yang lalu.
Sistem penilaian UPSR walaupun tidak seiring dengan konsep KBSR tetapi masih terus diamalkan sebagai penanda aras pencapaian pelajar sekolah rendah di seluruh negara hingga ke hari ini.
Lima mata pelajaran akademik sahaja yang diuji di dalam UPSR manakala PEKA diuji secara projek amali. Lima pelajaran tersebut ialah Bahasa Melayu Karangan, Bahasa Melayu Kefahaman, Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Sains. Manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diuji matapelajaran Bahasa Cina Karangan dan Kefahaman.
Maka berhempas-pulas para pelajar di tahun enam untuk mendapat pencapaian paling tinggi iaitu 5A (SRK) atau 7A (SRJC Cina). Pengalaman penulis dua tahun berturut hadir di hari keputusan UPSR diumumkan, memang sedikit menakutkan.
Pada hari keputusan diumumkan, para pelajar akan berada di dalam kelas sementara menunggu slip keputusan diserahkan kepada mereka, biasanya di dalam kelas masing-masing ataupun di dewan sekolah.
Seorang demi seorang akan mengambil keputusan mereka dari guru yang bertugas. Ada juga sekolah di mana pihak pengetua sendiri yang menyampaikannya kepada pelajar. Maka ketika ini kita berasakan ketidakadilan peperiksaan UPSR itu ditanggung oleh anak-anak yang masih kecil dan baru mengenal dunia.
Secara umum jika diteliti, kita akan berjumpa tiga jenis kumpulan utama pelajar. Pertama kumpulan pelajar cemerlang (definisi cemerlang adalah berdasarkan senarai nama pelajar yang telah dikenalpasti oleh pihak sekolah akan mendapat 5A dalam UPSR); kedua kumpulan sederhana yang menerima hakikat mereka bukanlah di kalangan yang menjadi harapan sekolah untuk mendapat keputusan cemerlang tetapi masih meletakkan harapan tinggi yang mereka juga boleh mendapat keputusan 5A; ketiga kumpulan pencapaian rendah yang tidak kisah dengan apa pun keputusan yang akan mereka dapat nanti. Malah pihak sekolah juga telah mengenal pasti kumpulan ini sebagai kumpulan lemah.
Kumpulan cemerlang biasanya tidak ramai, antara 15 peratus hingga 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar (peratus ini berasaskan kajian yang telah banyak dijalankan oleh pakar pendidikan). Laporan pencapaian UPSR 2008 seperti tahun-tahun yang lepas menunjukkan kurang 10 peratus sahaja (sekitar 40,000 orang) berjaya mencapai 5A. Manakala lebih 90 peratus atau 400,000 pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR pada 2008 hanya mendapat 4A atau kurang.
Dari perspektif pendidikan, semua pelajar sebenar mempunyai potensi dan keupayaan di dalam berbagai bidang. Malang sebelum sempat para pelajar menunjukkan kebolehan dan potensi mereka, UPSR telah menggagalkan kebanyakan daripada mereka. Bayangkan 90 peratus pelajar tidak lagi dianggap cemerlang hanya kerana gagal mendapat 5A.
Kumpulan teramai ini khususnya yang gagal mencapai 5A akan menghadapi trauma peperiksaan seperti kesedihan, kemurungan, jiwa tertekan, fobia terhadap peperiksaan dan menghadapi masalah self-esteem yang rendah. Mereka juga mula menjadi pemalu, takut berjumpa dan berinteraksi dengan rakan sebaya serta lebih suka mengasingkan diri.
Malah ada di antaranya mengalami tekanan mental dan gangguan jiwa yang bukan sedikit. Gagal memenuhi harapan ibu bapa dan saudara mara menambahkan lagi tekanan ini yang akhirnya akan menyebabkan pelajar membuat perakuan kendiri atau self belief bahawa dirinya memang bukan pelajar yang cemerlang. Jika para ibubapa gagal memahami dan membantu menguruskan trauma peperiksaan ini, keadaan emosi pelajar ini akan menjadi lebih parah.
Proses trauma peperiksaan biasanya berlaku antara tempoh selepas keputusan dikeluarkan hinggalah mulai mendaftar masuk ke tingkatan satu di sekolah menengah. Jika dipantau pencapaian di peringkat sekolah menengah jelas sekali pelajar yang cemerlang di sekolah rendah tetapi gagal mendapat 5A di dalam UPSR cenderung untuk menzahirkan dirinya sebagai pelajar sederhana atau lemah di peringkat sekolah menengah.
Pendek kata sistem penilaian di peringkat yang terlalu awal seperti UPSR hanya menguntungkan 10 peratus pelajar di kalangan pelajar yang cemerlang tetapi merosakkan masa depan 90 peratus pelajar lain.
Teori perkembangan kanak-kanak dan remaja tidak pernah mencadangkan satu sistem penilaian yang akhirnya akan merosakkan konsep kendiri mereka. Pandangan tokoh tokoh pendidikan seperti Jerome Bruner, Jean Piaget dan Paul Hirst menolak penilaian akademik semata-mata bagi tujuan mengelaskan pelajar.
Begitu juga dengan tokoh psikologi pendidikan seperti Skinner, Maslow dan Erikson yang mencadangkan agar kanak-kanak di peringkat pelajaran rendah perlu diberi peluang untuk mendapat sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran dan tidak perlu dilakukan satu bentuk penilaian yang akan merosakkan sistem konsep kendirinya.
Oleh itu apa yang sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran dengan memansuhkan UPSR adalah sesuatu yang baik, bijak dan menguntungkan modal insan negara untuk jangka panjang.
Apa yang perlu dilakukan seterusnya oleh pihak kementerian? Sekurang-kurangnya dua perkara ini mestilah diberikan perhatian. Pertama, lengkapkan kemudahan pengajaran dan pelajaran yang setara untuk semua sekolah menengah dengan segera sekalipun terpaksa berbelanja besar. Tidak seperti 25 tahun lalu ketika KBSR mula diperkenalkan, sekolah menengah ketika itu mempunyai jurang pencapaian dan kemudahan yang sangat besar.
Kurang kemudahan
Sekolah menengah di pedalaman sangat kurang kemudahan pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru juga biasanya di kalangan mereka yang baru tamat latihan guru. Berbeza dengan sekolah di bandar besar selain kemudahan pembelajaran yang begitu baik, para guru juga biasanya di kalangan yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjadikan seseorang pelajar berjaya dengan cemerlang.
Keadaan ini tidak boleh lagi dibiarkan kerana penilaian bentuk baru yang bermula kohort pelajar pada 2010 akan tidak adil kepada kumpulan pelajar yang tiada kemudahan setara dengan rakan rakan di sekolah yang penuh dengan kemudahan pembelajaran. Misalnya kemudahan ICT, dewan sekolah, padang sekolah serta peralatan sukan yang berkualiti, makmal bahasa, dan perpustakaan digital.
Kedua, satu sistem penilaian yang bersepadu perlu dilaksanakan. Konsep penilaian bersepadu bermaksud mekanisme penilaian berlaku secara berterusan. Penilaian peringkat sekolah rendah sepatutnya bukan mencari siapa yang paling pandai di kalangan 100 pelajar tetapi menentukan sama ada pencapaian 100 pelajar sudah berada tahap tanda aras yang ditentukan. Oleh itu satu profil rekod pembangunan pelajar perlu diadakan bagi setiap pelajar.
Sistem ini boleh sahaja dalam bentuk bercetak seperti buku rekod kemajuan tetapi lebih baik sebenarnya berbentuk online yang boleh diakses oleh ibu bapa pelajar.
Sistem penilaian bermula apabila ujian diagnostik dilakukan pada minggu awal di tahun satu. Beberapa domain utama perlu dikenalpasti untuk tujuan penilaian. Misalnya selain domain 3M, domain keagamaan dan ibadat, domain moral, sivik muzik dan seni, jasmani dan domain pembangunan emosi.
Buku perkembangan pelajar perlu dibawa dari tahun ke tahun sehinggalah ke peringkat tahun enam di sekolah rendah. Apabila seseorang pelajar masuk ke sekolah menengah rekod kemajuan ini akan digunakan oleh guru untuk mengkaji tahap kebolehan dan mengenalpasti potensi pelajar.
Sistem pendidikan yang ada sekarang jelas memisahkan sistem pendidikan rendah dan menengah. Para guru sekolah rendah merasakan mereka tiada kaitan dengan perkembangan pelajar di sekolah menengah nanti, begitu juga pada guru sekolah menengah merasakan tiada keperluan untuk mengkaji kebolehan dan potensi pelajar berasakan pencapaian di peringkat sekolah rendah.
Kita perlu berubah kerana apa yang diinginkan 25 tahun dulu sudah tidak perlu dilakukan lagi hari ini. Anak anak kita perlu kepada keupayaan membaca dan menulis di dalam bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin atau Arab yang baik.
Mereka juga perlu boleh melakukan pengiraan yang baik, mampu bersenam dan bersukan dengan cara yang betul, boleh menunjukkan bakat di dalam seni dan muzik, serta menunjukkan minat dan kemahiran dengan penggunaan ICT.
Selain itu mereka juga perlu ditanamkan dengan disiplin kendiri yang baik di dalam melaksanakan ibadat mengikut agama masing-masing.
Pada akhirnya, tujuan penilaian dalam pendidikan bukanlah untuk mengagalkan pelajar tetapi memastikan seramai mungkin pelajar mencapai apa yang sepatutnya mereka capai selepas pembelajaran.
Mengunakan UPSR sebagai penilaian tunggal di tahun enam bukan sahaja melemahkan motivasi generasi baru malah menenggelamkan sejumlah besar modal insan yang mempunyai potensi besar jika dikembangkan untuk kemajuan negara.
Utusan Malaysia Online: 20 Disember 2008
1 ulasan:
assalamualaikum..
se7 juga dgn cdgn mansuhkan UPSR, tp..murid ni kadang2 xsuka belajar..dtg sekolah sebab mau jumpa kawan2..jd, klu xda UPSR, dorang macam xda matlamat...
pendapat sy, guru harus bijak menarik minat/memotivasikan murid untuk belajar supaya matlamat pembelajaran tercapai[guru guna kaedah,pendekatan,teknik,strategi mengajar yang berkesan dan sesuai]
Catat Ulasan