Ahad, 28 Disember 2008

Sekolah agama dapat buku teks

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar


HAIFA Nasuha Yusri 9, (kanan) dan sepupunya Adriana Athirah Fadzeria Idzuan 9, menjemur beg sekolah sebagai persiapan untuk sesi persekolahan 5 Januari ini di Taman Seri Gombak, semalam.

Bekalan SPBT diagih ke enam negeri ikut pesanan untuk 9,435 murid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sudah mengagihkan bekalan bantuan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) bernilai RM1.9 juta kepada 42 sekolah rendah agama bersepadu (SRAB) dan integrasi (SRAI) yang dilaksanakan mulai sesi persekolahan tahun depan.

Sumber kementerian berkata, sekolah berkenaan ialah yang berdaftar dengan jabatan agama Islam negeri masing-masing meliputi Perak, Johor, Kedah, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, pembekalan buku teks itu adalah berdasarkan pesanan dibuat jabatan agama Islam negeri terbabit untuk keperluan 9,435 murid SRAB dan SRAI di bawah pendaftaran mereka.

"Tindakan segera diambil untuk mendapatkan pesanan bekalan buku teks daripada jabatan agama Islam negeri pada September selepas pengumuman Menteri Pelajaran berhubung pelaksanaan bantuan SPBT kepada SRAB dan SRAI, Julai lalu.

"Penerbit menyelesaikan urusan buku teks ke semua SRAB dan SRAI berkenaan sebelum 15 Disember lalu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar Julai lalu akhbar melaporkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mulai tahun depan, semua 9,435 murid di 42 SRAB dan SRAI yang dikendali atau didaftarkan dengan kerajaan negeri, akan menerima bantuan SPBT bernilai RM1.9 juta.

Hishammuddin berkata, langkah itu ialah antara usaha kementerian membantu keluarga dan murid kurang berkemampuan untuk mendapatkan kemudahan pelajaran yang sempurna.

"Langkah memperluas SPBT juga menunjukkan kementerian tidak pernah meminggirkan mana-mana aliran sekolah, termasuk sekolah tidak berdaftar dengan kementerian," kata Hishammuddin.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, ada beberapa SRAB dan SRAI baru mendaftar dengan jabatan agama Islam negeri menyebabkan mereka terlepas daripada senarai pesanan bantuan SPBT yang sudah dikemukakan untuk pembekalan buku teks sesi persekolahan 2009.

Justeru, katanya, kementerian mungkin mengusahakan pesanan tambahan untuk keperluan sekolah berkenaan jika keadaan mendesak atau memulakan pembekalan buku teks pada sesi persekolahan 2010.

Sumber itu berkata, kira-kira 17 juta buku teks SPBT sudah dibekal berdasarkan pesanan semua sekolah rendah dan menengah untuk kegunaan tahun depan.

Cuma, katanya, sebilangan kecil sekolah di kawasan pedalaman Sabah belum menerima bekalan itu berikutan kedudukan lokasi mereka yang agak sukar tetapi pihak penerbit akan berusaha menyelesaikannya sebelum sesi persekolahan baru dibuka tidak lama lagi.

"Dalam konteks ini, isu kekurangan buku teks yang lazim timbul pada awal sesi persekolahan bukanlah akibat kesilapan pembekalan tetapi atas beberapa faktor di luar jangkaan.

"Antaranya ialah perpindahan pelajar ke sekolah lain, sedangkan pesanan buku teks yang dibuat sekolah berkenaan adalah berdasarkan keperluan bilangan asal pelajar mereka.

"Selain itu, ada sekolah yang mengambil keputusan saat-saat akhir untuk membuka kelas mata pelajaran elektif tertentu walaupun tidak membuat pesanan buku teks terbabit," katanya.

Berita Harian Online: 27 Disember 2008


Tiada ulasan: