JOHOR BAHRU: Membentuk barisan pemimpin pengurusan pendidikan yang berintegriti, mempunyai sumber manusia yang berkualiti dari segi ilmu serta kemahiran dan sahsiah diri antara perkara terkandung dalam enam matlamat yang digariskan dalam perancangan strategik tiga tahun Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ).
Turut digariskan dalam Perancangan Strategik JPNJ 2009-2011 untuk pembangunan dan pengembangan pendidikan di negeri ini, penyediaan kemudahan pendidikan yang berkualiti tinggi serta berusaha mencapai prestasi cemerlang dalam pentaksiran dan penilaian.
Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin, berkata perancangan strategik itu meletakkan visi dan misi untuk mencapai matlamat berkenaan supaya prestasi akademik pelajar sekolah di negeri ini berada dalam kumpulan lima terbaik dalam semua peperiksaan awam.
"Matlamat JPNJ sepanjang rancangan tiga tahun itu juga mensasarkan untuk melahirkan insan berkualiti yang dapat memenuhi keperluan global dan mempunyai sistem pengurusan yang berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Johor 2009-2011 di Dewan Iskandar Pusat Islam Johor, di sini, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datin Asariah Mior Shaharudin selaku wakil Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom.
Sufaat berkata, pembangunan pendidikan melalui perancangan strategik di Johor hanya bermula pada akhir 2005 berikutan timbulnya kesedaran kalangan kepimpinan pendidikan negeri ini terhadap prestasi akademik pelajar sekolah yang sentiasa berada di bawah kumpulan lima terbawah.
"Gambaran itu menunjukkan umumnya prestasi akademik pelajar di negeri ini sentiasa berada di bawah paras kebangsaan ketika itu walaupun ia terletak berdekatan dengan negara jiran yang pesat dari segi ekonomi dan pendidikannya.
"Sehubungan itu, kepimpinan pendidikan Johor menggerakkan kepakaran yang ada di kalangan pegawai di peringkat jabatan, daerah, sekolah serta menggabungkan badan profesional pendidikan, guru cemerlang dan guru sarjana bagi memberikan pandangan dan cadangan," katanya.
Beliau berkata, berikutan itu Buku Perancangan Strategik 2006-2008 iaitu rancangan strategik pertama yang bertujuan membangun dan mengembangkan pendidikan Johor ke satu tahap yang dapat diterima oleh pelanggan dan dapat dibanggakan oleh semua pihak yang berkepentingan, dihasilkan.
Berita Harian Online: 18 Disember 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan