Isnin, 8 Disember 2008

Pemilihan ke sekolah berasrama penuh perlu telus

KEMAMPUAN lebih 46,000 calon UPSR mendapat 5A baru-baru ini sebenarnya menurun berbanding 48,000 pada tahun 2007 sekiranya dilihat secara teliti. Perkara ini bagaimanapun merupakan cabaran terbesar bagi Kementerian Pelajaran menempatkan pelajar cemerlang di sekolah berasrama penuh (SBP).

Walaupun kita sedia maklum bahawa memperoleh 5A bukanlah pencapaian mutlak di kalangan pelajar, namun ibu bapa berhasrat menghantar anak mereka ke sekolah berprestij. Hal ini berlaku kerana mereka berpendapat sekolah tersebut bukan sahaja dilengkapi prasarana yang baik, malah menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.

Bagaimanapun, dikhabarkan hanya 6,000 tempat disediakan oleh pihak kerajaan untuk mereka yang berjaya ke SBP. Secara realitinya, memang kerajaan tidak mampu menawarkan tempat tersebut, namun banyak alternatif bagi menampung kekurangan tersebut.

Walaupun kerajaan mengatakan bahawa banyak sekolah hari ini mampu memberikan kemudahan, tetapi sekiranya berpeluang mereka akan menerima tawaran tersebut sehingga sanggup berbuat apa sahaja bagi memperoleh keistimewaan itu.

Perkara ini belum dikira mereka yang mempunyai kepentingan sebagai tenaga pengajar di sekolah berkenaan untuk menempatkan anak mereka di sekolah elit ini.

Pada masa ini, terdapat 54 buah SBP di negara ini. Bilangan ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa. Pun begitu, terdapat beberapa SBP tidak menawarkan tempat tingkatan satu, sebaliknya hanya menawarkan tempat ke tingkatan empat.

Sebagai contoh, Sekolah Sains Alam Shah, Sekolah Sains Seremban, dan Sekolah Sains Seri Puteri. Dasar ini sewajarnya difikirkan semula bagi memberi peluang kepada murid tahun enam melangkah ke tingkatan satu dengan bergaya di sekolah yang baik.

Sekolah-sekolah tersebut sebenarnya tapak asal SBP yang berpindah lokasi. Saya yakin tempat tersebut mempunyai signifikan dalam era pendidikan negara kita.

Alangkah baiknya sekolah berkenaan menawarkan tempat bagi tingkatan satu bagi membentuk jati diri. Dua tiga tahun ini sekolah berkenaan hanya menempatkan tingkatan empat dan lima sahaja.

Bagaimanakah kaedah terbaik membentuk kewibawaan pelajar cemerlang setelah tidak sampai dua tahun berada di sekolah terbaik itu. Tambahan pula, kebanyakan pelajar itu masih membawa budaya sekolah lama (walaupun mencapai keputusan terbaik dalam PMR).

Amat wajar sekolah yang mewarisi keunggulan dari segi namanya turut menawarkan tempat tingkatan satu bagi menyuburkan semangat kegemilangan setiap sekolah itu.

Tambahan pula, setiap SBP mempunyai budaya yang tersendiri bagi memberikan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Banyak manfaat yang diperoleh seperti penyertaan kokurikulum, sosial dan kepentingan kepemimpinan masa depan.

Seperkara lagi, biarlah mereka yang berjaya memasuki sekolah ini benar-benar layak dari segi sahsiah, akademik dan kokurikulum. Janganlah nanti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan. Kita tidak mahu cemerlangnya anak kita di sekolah rendah tidak dapat meneruskan kecemerlangan mereka apabila usaha mereka terbantut di tengah jalan.

AYAH BERWAWASAN
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 8 Disember 2008

Tiada ulasan: