Selasa, 30 Disember 2008

Fokus: Yuran PIBG

Oleh Khairina Yasin


SEBAHAGIAN ibu bapa menunggu giliran untuk membayar yuran persekolahan anak masing-masing di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist, Kuala Lumpur, awal tahun lalu.

Pembayaran ditangguihkan sehingga Jun bagi mencari penyelesaian, prihatin beban ibu bapa

ISU bayaran tambahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukanlah perkara baru kerana umum sedia maklum, yuran itu sering diperdebatkan kewajarannya majoriti ibu bapa di negara ini.

Awal tahun ini, polemik isu berkenaan lantang disuarakan pelbagai pihak sehingga mencetuskan sedikit ‘huru-hara’ lantaran salah faham orang ramai terhadap pemansuhan yuran khas kerajaan dan laungan konsep persekolahan percuma kepada semua pelajar pada Bajet 2008, baru-baru ini.

Masalah ini sebenarnya menampakkan ketidaksefahaman di antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Bagi pihak sekolah, mereka mungkin tidak sedar atau terlepas pandang masalah yang dihadapi ibu bapa serta pelajar.

Di sebelah pihak ibu bapa, mereka kurang faham sistem pengurusan sekolah. Inilah sebenarnya punca masalah yang dihadapi berterusan saban tahun.

Apa yang berlaku itu mencabar Kementerian Pelajaran sehingga mereka akhirnya memutuskan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kadar yuran tambahan menuntut balik bayaran yang dikenakan sekolah masing-masing, sekali gus meredakan ketegangan yang berlaku.

KEPERLUAN memenuhi pelbagai kelengkapan sekolah anak termasuk yuran, pakaian dan buku penting sebelum sesi persekolahan 2009 bermula 5 Januari ini.

Namun, pengumuman kementerian menangguhkan pembayaran yuran tambahan PIBG sehingga pertengahan sesi persekolahan tahun depan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein baru-baru ini memberi nafas lega kepada ibu bapa.

Langkah itu memperlihatkan kematangan kementerian menangani perkara ini dengan mencari penyelesaian terbaik sehingga memutuskan untuk menangguhkan pembayaran yuran itu sehingga Jun tahun depan.

Ternyata Kementerian Pelajaran kini lebih berhati-hati dan bijak belajar daripada pengalaman lalu bagi mengelakkan gelombang kritikan atau suasana yang tidak sedap didengar berterusan berlaku, tahun ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata surat pekeliling berkaitan penangguhan yuran itu akan diedar kepada sekolah seluruh negara dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pengurusan sekolah dan PIBG perlu merujuk secara jelas kandungan surat pekeliling itu yang turut memperincikan pelbagai perkara lain termasuk kadar yuran persekolahan bagi setiap sekolah.

“Langkah penangguhan ini membuktikan keprihatinan pihak kerajaan terhadap beban yang terpaksa ditanggung ibu bapa setiap kali sesi persekolahan bermula berikutan faktor kelembapan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

“Setiap keputusan yang dibuat Kementerian Pelajaran mengambil kira pelbagai aspek termasuk pandangan pelbagai pihak sebelum memutuskan pendekatan terbaik menangguhkan pembayaran yuran ini,” katanya kepada Berita Harian.

Ditanya kemungkinan langkah penangguhan itu boleh menjejaskan perancangan dan pelaksanaan aktiviti PIBG yang ditetapkan, beliau berkata, pihak kementerian akan menyediakan geran perkapita kepada sekolah bagi memastikan setiap agenda yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita amat prihatin terhadap perkara ini dan tidak timbul soal aktiviti PIBG terjejas jika kita tangguhkan pembayaran yuran tambahan berkenaan kerana ada geran disediakan kepada sekolah.

“Malah, sekolah bukannya terlalu bergantung kepada dana PIBG semata-mata kerana ada peruntukan atau dana lain yang mampu membiayai kegiatan yang dirancang sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau menegaskan, penangguhan itu turut memberi peluang kepada PIBG dan sekolah berbincang secara telus dan sepakat dalam memutuskan kadar yuran tambahan berpatutan sekolah masing-masing.

Katanya, interaksi antara sekolah dan ibu bapa menerusi PIBG penting bagi menyokong setiap keputusan yang dicapai khususnya berkaitan yuran tambahan agar tidak timbul kekeliruan atau kekecohan selepas itu.

Berita Harian Online: 29 Disember 2008

Tiada ulasan: