Selasa, 9 Disember 2008

Sokong sejarah di sekolah rendah

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya subjek sejarah diajar di peringkat sekolah rendah dan dimasukkan dalam kurikulum menjelang 2010 sangat dialu-alukan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail, sebelum ini pernah menyatakan kementeriannya sedang mengkaji untuk memasukkan subjek sejarah sebagai salah satu kertas dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Cadangan itu pada dasarnya sangat baik memandangkan buat masa ini tidak ada subjek sejarah secara khusus untuk murid sekolah rendah dan jika adapun elemen sejarah ialah dalam subjek Kajian Tempatan di mana unsur sejarah yang diketengahkan dalam subjek berkenaan lebih berkisar kepada sejarah budaya dan sosial masyarakat Malaysia iaitu belajar hidup bersama dan bermuafakat.

Dalam era negara mencipta kemajuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi, banyak yang mula khuatir dan bimbang dengan tahap patriotisme serta semangat cintakan negara di kalangan generasi muda yang diharapkan dapat mendokong aspirasi negara. Maka, cadangan subjek sejarah diajar di sekolah rendah ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

Kita mahu subjek sejarah diajar di peringkat rendah dan menengah jika ia mampu merobek permasalahan sosial yang melanda masyarakat khususnya anak remaja pewaris masa depan. Apa yang penting, kementerian berkaitan perlu prihatin dalam merancang sukatan subjek sejarah rendah supaya bersesuaian dan berkesan, bukannya sejarah yang mengandungi fakta dimanipulasikan Barat.

Amat malang dan mengecewakan jika subjek sejarah yang hendak diajar nanti dimanipulasikan dengan virus politik sempit dan hanya mengambil ketokohan pemimpin tertentu. Tokoh agung yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein memang tidak dapat disangkal memainkan peranan besar.

Namun, nama besar lain seperti Ibrahim Yaakob, Dr Buhanuddin Helmi, Ahmad Boestaman, Abu Bakar Al-Baqir serta banyak lagi janganlah dilupa. Bukankah perjuangan mereka penuh dengan keringat dan tumpah darah? Di sinilah letaknya matlamat asal kita memperkenalkan subjek sejarah di sekolah rendah iaitu untuk memberi pemahaman dan penghayatan mendalam kepada murid supaya menghayati sejarah sejak awal lagi di samping mengenali secara dekat tokoh terbilang yang berjasa kepada negara. Pendidikan Sejarah juga penting dalam usaha melahirkan warga negara yang setia dan cintakan negara. Oleh yang demikian, murid perlu diberikan pemahaman mendalam mengenai proses perkembangan masyarakat dan negara. Kesedaran mendalam mengenai sejarah penting kerana pada masa kini negara melalui pelbagai cabaran serta kejayaan, dan melalui subjek sejarah kita dapat mewujudkan kebanggaan serta keperibadian bangsa Malaysia.

Subjek sejarah memainkan peranan penting dalam memberikan penekanan kepada unsur kesinambungan dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat serta negara.

Besar harapan saya, subjek sejarah yang diajar nanti bukan sekadar untuk tujuan peperiksaan, malah lebih penting menanam rasa hormat dan persefahaman rakyat pelbagai kaum di samping menyedarkan mereka betapa sejarah dan asal-usul sesuatu bangsa tidak wajar diperlekehkan demi keharmonian kaum.

Mungkin juga kita mengharapkan pada peringkat sekolah rendah, subjek sejarah tidak perlu disibukkan dengan tujuan peperiksaan di mana murid menghafal fakta dan tarikh tertentu untuk mendapat markah tinggi.

Oleh sebab subjek sejarah baru di peringkat cadangan maka kita mengharapkan subjek itu diajar dengan cara paling menyeronokkan, menghiburkan dan selesa.

Jangan sampai subjek sejarah menjadi bebanan hingga menyebabkan hilang minat untuk mempelajari sejarah semasa di peringkat menengah nanti.

ADNAN AWANG,
Balai Besar, Dungun.

Berita Harian Online: 9 Disember 2008

Tiada ulasan: