Jumaat, 12 Disember 2008

Pusat sehenti diwujud untuk pelajar khas, Orang Asli

Oleh Mohd Rashidi Yusuf


PROGRAM Out-Reach Pendidikan Khas dan Menangani Isu-Isu Pendidikan Anak-Anak Orang Asli ke -6 anjuran Kementerian Pelajaran, baru-baru ini memilih daerah Hulu Perak, Perak sebagai sasaran.

Ini kerana terdapat ramai pelajar anak Orang Asli di kawasan berkenaan termasuk di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, RPS Sungai Tiang, RPS Air Dala, RPS Pos Kemar dan RPS Sungai Kejar.

Penempatan itu terletak jauh di pedalaman dan dihubungkan menerusi jalan air dengan menaiki motorbot yang memakan masa antara 30 hingga 50 minit.

Antara kesan kesukaran perhubungan itu, berlaku masalah kelembapan pencapaian prestasi pelajar serta peratusan keciciran yang tinggi.

Tidak tertumpu kepada kalangan pelajar anak Orang Asli saja, program itu turut memberi penekanan kanak-kanak berkeperluan khas tanpa mengira kaum.

Antara langkah dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu, Kementerian Pelajaran menerusi Bahagian Pendidikan Khas akan menjadikan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (PPPK) di setiap negeri sebagai pusat sehenti bagi menanganinya.

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Bong Muk Shin, berkata setakat ini tujuh daripada 14 pusat berkenaan sudah beroperasi antaranya di Putrajaya, Kota Bharu, Alor Star, Ipoh dan Shah Alam.

Pembukaan PPPK di negeri lain pula akan disempurnakan setelah beberapa masalah dalaman berjaya diselesaikan.

"PPPK ini berkonsepkan pusat sehenti untuk perkhidmatan pendidikan khas, sekali gus berperanan sebagai pusat rehabilitasi untuk murid berkeperluan khas di sekitarnya," katanya selepas merasmikan Program Outreach Pendidikan Khas dan Menangani Isu-Isu Pendidikan Anak-Anak Orang Asli Hulu Perak di Dewan Persidangan Majlis Daerah Grik.

Program empat hari itu turut membabitkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta badan sukarela termasuk Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bank Simpanan Nasional dan Institut Integriti Malaysia.

Hadir sama Ketua Sektor Pendidikan Khas/Swasta, Jabatan Pelajaran Perak, Rozi Puteh Ismail dan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Perak, Rosli Ahmad.

Bong berkata, pembukaan PPPK bertujuan menangani pelajar berkeperluan khas yang lazimnya menghadapi masalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran.

Bagi pelajar Orang Asli, selain masalah pengangkutan, kesukaran dihadapi guru, keengganan berjauhan dengan keluarga, ketiadaan dokumen pengenalan diri antara isu ditangani pusat berkenaan bagi mengatasi masalah keciciran.

"Mengenai keciciran di kalangan pelajar Orang Asli, ia masih di tahap rendah iaitu lima dan enam peratus sementara peringkat menengah lebih serius iaitu mencecah 37.1 peratus.

Beliau berkata, di RPS Sungai Kejar, Royal Belum paling ramai anak Orang Asli keciciran pendidikan iaitu menjangkau antara 60 hingga 70 peratus.

Berita Harian Online: 12 Disember 2008

Tiada ulasan: