Rabu, 17 Disember 2008

Ramai sokong rombakan subjek sekolah rendah

Oleh Nurul Farina Nazlan

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pelajaran merombak beberapa mata pelajaran bersifat akademik di sekolah rendah mendapat sokongan pelbagai pihak tetapi meminta ia diteliti secara mendalam bagi menjamin keberkesanannya.

Kementerian juga diminta mengadakan perbincangan bersama persatuan berkaitan serta Majlis Guru Besar dan golongan profesional bagi memastikan transformasi itu memberi kebaikan terutama kepada pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata ia adalah perkembangan sihat, namun mata pelajaran yang ingin diganti perlu lebih kepada usaha meningkatkan kepakaran pelajar melalui bahan praktikal.

Katanya, semua pihak harus membuka minda serta memberi peluang kepada pelajar menguasai kemahiran lain di sekeliling mereka selain pengetahuan akademik, sekali gus menjadi seorang yang lebih holistik dan cemerlang.

“Dengan wujudnya subjek baru, pelajar akan menjadi warga berminda kritis serta lebih terbuka terutama dalam menangani isu perkauman,” katanya semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata subjek baru akan memberi penekanan kepada latihan amali termasuk komunikasi dan subjek berteras kesenian seperti drama yang akan dilaksanakan mulai 2010.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, berkata cadangan itu adalah langkah tepat dan bakal memberi keuntungan besar kepada negara dalam usaha melahirkan rakyat berpengetahuan luas dan serba boleh.

Beliau berkata, PIBGN mencadangkan kementerian melaksana sistem seperti di universiti yang mana pelajar tidak dinilai 100 peratus melalui peperiksaan tapi dibahagi kepada kerja kursus tertentu supaya mereka diberi peluang menguasai bidang tertentu selain akademik.

“Subjek teknikal serta vokasional perlu diperkenalkan seawal mungkin di samping penerapan budaya membaca secara berterusan dan bukan hanya membaca kerana ingin lulus peperiksaan.

“Untuk merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan cemerlang, kementerian harus menentukan sistem serta corak pendidikan sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada kepakaran luar kerana Malaysia mempunyai ramai golongan profesional yang mampu memajukan pendidikan kita,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Disember 2008

Tiada ulasan: