MERUJUK berita muka depan Berita Harian kelmarin, mengenai tujuh pilihan bagi Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), saya benar-benar berbangga usaha kerajaan memastikan rakyat berilmu dan berdaya saing melalui pemantapan sistem akademik sedia ada.
Ini ditambah lagi dengan kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menyatakan usaha menekankan pembangunan kemahiran insaniah sejak di sekolah rendah.
Kedua-dua usaha ini mempunyai matlamat sama memastikan keluaran sekolah berdaya saing. Oleh itu, kedua-dua cadangan itu seharusnya diselaraskan dan dilaksanakan bersama dalam suatu modul pembelajaran.
Matlamat utama PPSMI meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pandangan peribadi saya, PPSMI memang membantu meningkatkan kecekapan sesetengah pelajar dalam berbahasa Inggeris tetapi dalam masa sama terpaksa melepaskan peluang menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik sebagai galang-gantinya.
Mata pelajaran ini mempunyai bebanan dan kepentingannya dan bayangkanlah betapa ruginya anak kita tidak berpeluang untuk menguasai ilmu itu hanya kerana mereka kurang cemerlang dalam bahasa Inggeris.
PPSMI sepatutnya digabungkan dengan modul peningkatan kemahiran insaniah dicadangkan Alimuddin dan bukan dengan mata pelajaran lain seperti Sains dan Matematik. Sekiranya bahasa Inggeris dijadikan medium dalam modul peningkatan kemahiran insaniah ini, saya fikir pembelajaran bahasa Inggeris akan menjadi lebih menarik dan pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding terpaksa dalam modul PPSMI.
Modul ini juga dikendalikan guru yang sememangnya terlatih mengajar bahasa Inggeris dan ini akan memastikan pendidikan bahasa Inggeris lebih berkesan berbanding PPSMI yang mana guru Sains dan Matematik tidak semestinya mahir dalam pendidikan bahasa Inggeris.
Selain itu, saya merasakan pihak Kementerian Pelajaran perlu berbincang dengan mahasiswa yang dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di Jepun, Russia dan sebagainya untuk berkongsi pengalaman mereka bagaimana mereka mampu melatih diri mereka menguasai bahasa lain. Saya fikir ini mampu menyumbang kepada penghasilan modul pengajaran bahasa Inggeris dan kemahiran insaniah lebih menarik dan berkesan.
HASNOL HASSAN,
Ipoh, Perak.
Berita Harian Online: 18 Disember 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan