Rabu, 10 Disember 2008

PPSMI tidak bantu capai matlamat majukan Melayu luar bandar

SESI persekolahan 2009 akan bermula tidak lama lagi. Bagaimanapun keputusan berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) belum dikeluarkan secara rasmi walaupun khabar angin banyak mengatakan ia tetap akan diteruskan.

Jika dilihat publisiti keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini mungkin khabar itu akan menjadi kenyataan.

Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berkaitan isu ini selepas membuat pemerhatian sepanjang PPSMI dilaksanakan. Saya dapati guru yang diarah mengajar subjek Matematik dan Sains kebanyakannya belum bersedia dan tidak mampu menyampaikan ilmu dengan sebaiknya.

Adakah Kementerian Pelajaran pernah turun padang bertanya dan meminta jawapan yang jujur daripada guru?

Sesetengah guru begitu tertekan apabila diminta mengajar dua mata pelajaran ini, tetapi akhirnya terpaksa juga kerana tiada pilihan lain.

Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah pelajar kerana guru gagal menghidupkan proses pembelajaran. Sains dan Matematik secara tradisinya kurang diminati pelajar Melayu yang menjadi semakin membosankan. Akhirnya ramai tidak mahu masuk kelas, melencong ke tempat lain dan terbabit dengan pelbagai gejala negatif. Akhirnya, kumpulan ini mengambil keputusan berhenti sekolah. Sesetengahnya tidak sempat tamat tingkatan lagi.

Jelas sekali PPSMI tidak akan mencapai matlamat membantu kaum Melayu atau Bumiputera terutama di kawasan luar bandar yang rata-ratanya bergantung sepenuhnya ilmu daripada guru di sekolah. Walaupun era globalisasi menuntut kita menguasai bahasa Inggeris sebagai wadah mencapai ilmu, bagaimana pula dengan kumpulan tercicir, hendak dibiarkan saja?

Saya percaya jika kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu, akan lebih ramai pelajar Melayu berminat mempelajarinya. Selain itu, kita juga dapat memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah disyorkan bahasa itu ditambah dan mungkin juga sukatan pelajaran dirombak supaya lebih menarik serta menjurus kepada era dunia teknologi maklumat dan globalisasi.

ZUBIR HASSAN,
Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 10 Disember 2008

Tiada ulasan: