Jumaat, 5 Disember 2008

Pengawas peperiksaan tak dibayar

SAYA menyokong tulisan 'Pengawas Tua', Ranau, Sabah mengenai masalah mengawas peperiksaan awam Kementerian Pendidikan. Saya ingin berkongsi pengalaman beberapa kali mengawas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Masalah kekurangan pengawas ini timbul kerana beberapa faktor antaranya pembayaran mengawas rendah. Bayaran terlalu lewat dibayar, kadang kala sampai satu tahun baru dibayar. Apa yang menyedihkan lagi, ada segelintir pengawas yang langsung tidak mendapat bayaran pengawasan.

Pengalaman saya tidak mendapat bayaran sehingga sekarang. Saya merujuk ke Bahagian Penilaian, saya diarahkan merujuk ke Akauntan Negara. Apabila saya di Akauntan Negara, saya diberitahu baucar saya tak pernah wujud di sana, saya kembali ke Bahagian Penilaian saya dijanjikan untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi sampai sekarang bayaran yang dijanjikan tidak saya terima.

Sebelum ke Bahagian Penilaian saya beberapa kali menelefon tetapi jawapannya sama saja iaitu akan diusahakan dan meminta saya bersabar.

PENGAWAS VETERAN,
Ranau, Sabah

Berita Harian Online: 4 Disember 2008

Tiada ulasan: