Isnin, 8 Disember 2008

Suami musykil isteri dihantar ke sekolah di negeri lain

SAYA adalah seorang kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan. Pada awal tahun ini saya berkahwin dan isteri saya sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Perguruan (DPLI) bahagian Pendidikan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selama setahun.

Sebagai seorang bakal tenaga pengajar, secara langsung isteri saya akan menjadi kakitangan awam di bawah Kementerian Pelajaran. Saya berasa bersyukur kerana beranggapan masalah pertukaran tempat kerja tidak akan menjadi masalah.

Bagaimanapun ia menjadi sebaliknya kerana pihak kementerian sudah menetapkan isteri saya untuk mengajar di Perak sedangkan saya sedang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Adalah menjadi kemusykilan saya kerana sebelum ini berdasarkan penerangan diterima ketika sedang mengikuti program pengenalan, ada beberapa pegawai Kementerian Pelajaran datang untuk memberi ceramah berkaitan kerjaya dan penempatan.

Saya mengepilkan segala keperluan yang diperlukan pihak kementerian seperti tempat bekerja, jabatan, sijil nikah dan alamat penginapan. Salah seorang pegawai yang datang iaitu dari Bahagian Penempatan Guru memberikan nombor telefon bimbit beliau dengan jaminan mereka yang berkahwin akan ditempatkan berdekatan dengan suami.

Saya menghubungi beliau, tetapi pelbagai alasan diberi dengan menyatakan bukan bidang kuasa beliau. Bagaimanapun saya dengan usaha sendiri menelefon Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran di Putrajaya, tetapi layanan yang diberikan oleh mereka tidak seperti yang saya kehendaki.

Seorang kerani menengking saya dan terus meletakkan ganggang telefon. Saya berasakan pihak Kementerian Pelajaran perlu peka dengan perkara ini.

KAKITANGAN KECEWA,
Taman Dagang, Ampang,
Selangor.

Berita Harian Online: 8 Disember 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selagi manusia bersikap tidak jujur dan Iklas dan mengenepikan hal2 keagamaan dalam kehidupan memang begitulah Akhlaknya,

Mereka akan menjadi tidak amanah, pemarah, khianat, dengki, semua pakej2 tersebut ada dalam diri.