Selasa, 13 Januari 2009

12 guru KPLI harungi Sungai Tembeling demi tugas


Guru-GURU menaiki bot penambang ke sekolah di pedalaman Hulu Tembeling di jeti Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 11 Jan. – Seramai 12 guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bersedia mengharungi Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer dengan menaiki bot penambang, semata-mata untuk berkhidmat di beberapa buah sekolah di daerah pedalaman Pahang.

Mereka yang merupakan graduan universiti tempatan dan luar negara itu berkhidmat di lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pagi, SK Kuala Sat, SK Bantai, SK Mat Daling dan SK Gusai bermula 5 Januari lalu.

Kumpulan guru DG41 itu, mengajar mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Pemulihan, prasekolah dan Pendidikan Islam.

Guru prasekolah SK Gusai, Harun Ibrahim, 25, berkata, dia tidak menyangka akan bertugas di kawasan pedalaman Pahang dan bersedia untuk menghadapi persekitaran kerja ‘yang begitu asing’ di Hulu Tembeling.

“Sebagai pendidik, cabaran ini perlu disambut dan menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik pelajar di pedalaman sehingga menjadi insan cemerlang,” katanya yang berasal dari Dungun, Terengganu ketika ditemui di sini.

Harun yang merupakan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia memang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik dan kini hasratnya itu menjadi kenyataan.

Guru Pendidikan Islam lepasan Universiti Al Azhar, Mesir, Hafizullah Abdul Jabar, 27, pula mengakui tidak berasa terkejut dan kekok ditugaskan mengajar di Hulu Tembeling kerana sekolah berkenaan mempunyai kemudahan yang setanding dengan sekolah di kawasan bandar.

“Komitmen saya ialah untuk mendidik pelajar mengenai ilmu Islam khususnya menajamkan pengetahuan mereka tentang al-Quran, fardu ain dan pembinaan akhlak sejajar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” katanya.

Hafizullah yang berasal dari Kampung Lebak, Temerloh, berkata, bertugas di pedalaman Pahang sebenarnya memberi peluang menimba pengalaman cukup berharga yang tidak diperoleh oleh rakan-rakannya lain yang berkhidmat di kawasan bandar.

Bagi rakannya, Siti Mashita Mohd. Ali, 25, yang bertugas di SK Gusai pula berkata, dia sedia menyahut cabaran mengajar di kawasan pedalaman dan sekali lagi sedia berjauhan daripada kaum keluarga di Kota Bharu, Kelantan, kerana menganggap kerjaya sebagai seorang pendidik adalah mulia.

“Setelah menerima surat tawaran, saya tidak sabar-sabar untuk mengajar di sini walaupun terpaksa menaiki bot selama lima jam dan mengharungi jeram yang bahaya,” katanya yang merupakan lepasan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, Penyelia Sekolah Rendah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut, Razali Omar, berkata, kumpulan guru berkenaan dihantar menggunakan dua buah bot penambang pada Rabu lalu, iaitu sebaik sahaja sekolah dibuka selepas banjir di Sungai Tembeling pulih.

Utusan Malaysia Online: 12 Januari 2009

1 ulasan:

Unknown berkata...

Tahniah dan semoga terus bersemangat di sana....Pengalaman mengajar di SK Bukit Mat Daling tidak akan dilupakan....