Khamis, 15 Januari 2009

Sekolah Terbilang: Ganda kejayaan

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


SMK (P) Sri Aman antara sekolah elit yang menjadi pilihan kebanyakan pelajar perempuan di negeri Selangor.

SMK (P) Sri Aman fokus modal insan guru, pelajar tingkat kecemerlangan

PEMANTAPAN modal insan menjadi fokus utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, bagi merancakkan lagi pembangunan dan kecemerlangan akademik serta kokurikulum sekolah itu.

Berteraskan kepada tiga bidang kekuatan dikenal pasti, iaitu bahasa Inggeris, orkestra dan koir, pelbagai perancangan diatur pentadbir sekolah berstatus Sekolah Kluster, Sekolah Bestari Perdana dan Sekolah Showcase itu dalam usaha mencapai matlamat disasarkan.

Pengetuanya, Alainal Hasani Md Noor, berkata pelbagai pengiktirafan itu tidak bermakna sekolah berkenaan harus berpuas hati, sebaliknya perlu melipatgandakan usaha bagi meningkatkan lagi pencapaian.

Justeru bagi mencapai hasrat itu, katanya, strategi dan perancangan diatur dan dilaksanakan pihak sekolah dengan memfokuskan usaha memartabatkan modal insan di kalangan pelajar dan guru secara menyeluruh.

“Sebahagian peruntukan khas RM500,000 Sekolah Kluster yang diagihkan Kementerian Pelajaran dimanfaatkan bagi memantapkan bidang kebitaraan sekolah.

PELAJAR mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana selesa.

“Untuk memantapkan orkestra dan koir misalnya, kita mendapatkan khidmat jurulatih luar bagi meningkatkan mutu persembahan sehingga ada sebahagian pelajar berpeluang mengadakan persembahan secara individu di luar negara,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemantapan modal insan di kalangan guru turut diberi penekanan dengan mengadakan lawatan ke sekolah luar negara bertujuan berkongsi kepakaran dan pengetahuan di peringkat global.

Akhir Disember lalu, Alainal Hasani berkata, seramai 25 guru di kalangan ketua bidang mata pelajaran menyertai lawatan ke dua sekolah kluster di Bangkok dan Rayong, Thailand bagi meninjau corak pentadbiran sekolah, selain aspek penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, peruntukan sama turut digunakan bagi memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar menerusi penganjuran siri Kem Bahasa Inggeris setiap tahun.


“Pemilihan bahasa Inggeris sebagai salah satu bidang kebitaraan sekolah ini berdasarkan pencapaian cemerlang pelajar dalam mata pelajaran itu pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejak lima tahun lalu, kita berjaya mengekalkan pencapaian melebihi 90 peratus pelajar mendapat gred A dalam peperiksaan PMR dan SPM,” katanya.

Beliau menjelaskan, pencapaian akademik keseluruhan sekolah turut membanggakan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Akademik PMR dan SPM Negeri Selangor 2006 kategori sekolah bandar dan Pencapaian Terbaik SPM Peringkat Kebangsaan 2003.

Katanya, sekolah itu turut melaksanakan sistem penilaian formatif bagi menilai aspek keperibadian dan sahsiah pelajar, pembabitan dalam kelas dan kehadiran ke sekolah secara individu.

Sistem itu, kata Alainal Hasani, mewakili 25 peratus daripada keseluruhan markah penilaian pelajar, manakala baki 75 peratus lagi dikira berdasarkan prestasi dalam peperiksaan.

Sejak dilaksanakan empat tahun lalu, beliau berkata, trend peningkatan memberangsangkan berjaya dicatat dari segi pencapaian pelajar dan sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum setiap tahun .

Dalam bidang kokurikulum, katanya, SMK (P) Sri Aman pernah meraih Anugerah Khas Videografi dalam Pertandingan Kid Witness News Peringkat Kebangsaan awal tahun lalu, wakil Selangor ke Pertandingan Projek Riadah Alam Sekitar Kebangsaan pada 2004 dan juara Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Petaling Bawah 18 tahun 2005.

“Kita turut menjalankan pelbagai projek menarik hasil kerjasama beberapa pihak luar dengan Kementerian Pelajaran dan juga sekolah ini.

“Antaranya, sekolah ini muncul yang pertama dipilih menerima kemudahan panel solar yang disambungkan dengan sistem Building Integrated PV (BIPV) berkuasa 4.4 kWp.

“Projek berkonsep mesra alam ini antara lain membolehkan penggunaan tenaga solar ditukar kepada elektrik bagi kegunaan pejabat sekolah dan ia hasil projek kerjasama United Nation Development Programme (UNDP) bersama Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi serta Kementerian Pelajaran membabitkan kos RM130,000,” katanya.

INFO: Kejayaan SMK (P) Sri Aman

  • Meraih Anugerah Khas Videografi dalam Pertandingan Kid Witness News Peringkat Kebangsaan awal tahun lalu

  • Diiktiraf sebagai Sekolah Bestari Perdana dengan pencapaian lima bintang

  • Pencapaian cemerlang pelajar mendapat gred A dalam peperiksaan PMR dan SPM melebihi 90 peratus sejak lima tahun lalu

  • Wakil Selangor ke Pertandingan Projek Riadah Alam Sekitar Kebangsaan pada 2004

  • Juara Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Petaling Bawah 18 tahun pada 2005.

  • Berita harian Online: 14 Januari 2009

    Tiada ulasan: