Jumaat, 2 Januari 2009

Ajar tuisyen lebih mulia

MERUJUK kepada surat 'Guru Menuntut Keadilan' dari Selangor yang disiarkan ruangan ini pada 25 Disember lalu, saya amat bersetuju dengan pendapat beliau, walaupun saya sendiri tidak menjadi guru tuisyen, sebaliknya hanya mengajar di sekolah.

Guru tuisyen wujud bukan saja ingin mencari pendapatan tambahan, malah atas permintaan ibu bapa. Saya juga selalu didesak ibu bapa untuk mengadakan kelas tuisyen, tetapi saya tolak atas alasan tertentu.

Pelajar yang kurang cemerlang dapat dibantu dengan bimbingan guru tuisyen, apatah lagi ibu bapa sendiri tidak berkemampuan dari segi masa. Jadi bukankah itu tugas mulia?

Malangnya, guru tuisyen ini diminta melaporkan kepada Jabatan Pelajaran seolah-olah kerja ini tidak kena. Sepatutnya, guru menjalankan perniagaan di pasar malam dan ke sekolah keesokan harinya dan kerap tertidur, patut didaftarkan.

Begitu juga guru yang aktif menjalankan jualan langsung, ejen insurans selain terbabit dengan politik. Bagaimana pula dengan guru yang menjalankan perniagaan restoran, kedai runcit, kedai dobi, kedai alat tulis dan sebagainya berselindung di sebalik nama ahli keluarga?

Saya juga berharap perkara ini diambil serius oleh Kementerian Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Negeri dan sebagainya untuk keadilan semua guru.

SOKONG GURU TUISYEN,
Temerloh, Pahang.

Berita Harian Online: 1 Januari 2009

Tiada ulasan: