Sabtu, 10 Januari 2009

Permohonan tukar sekolah terlalu lambat

SAYA ingin penjelasan berhubung sistem kelulusan pertukaran pelajar sekolah yang diamalkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling, Selangor.

Pengalaman saya memohon pertukaran sekolah antara negeri sebelum sesi sekolah bermula amat mengecewakan. Permohonan perlu mengambil masa tujuh hari bekerja untuk diluluskan sedangkan sesi persekolahan sudah bermula.

Saya harap proses itu dipercepatkan dengan sistem berkomputer, kelulusan dapat dibuat dengan segera contohnya dua jam selepas permohonan seperti dipraktikkan untuk permohonan pembaharuan pasport.

Alasan yang diberikan kerana jumlah permohonan yang banyak serta perlu menyemak keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum kelulusan tidak wajar sehingga menyebabkan pelajar tidak hadir ke sekolah selama seminggu.

Saya berharap pengurusan PPD Petaling, mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti cara mengatasi permohonan yang banyak. Saya yakin sistem berkomputer dapat memberi maklumat kepada pegawai untuk memberi kelulusan segera serta dilaksanakan dengan ada maklumat terkini dari sekolah.

Dalam era globalisasi, perubahan patut dibuat agar ibu bapa dan penjaga pelajar mendapat khidmat yang sewajarnya. Saya memohon pengurusan atasan jabatan yang berkenaan agar dapat melaksanakan perubahan proses permohonan pertukaran sekolah dapat disegerakan.

IBU PRIHATIN,
Petaling Jaya, Selangor

Berita Harian Online: 9 Januari 2009

Tiada ulasan: