Selasa, 13 Januari 2009

Ibu bapa bimbang guru Semenanjung ramai

SIBU: Ketika usaha menghantar guru Semenanjung mengajar di Sarawak disambut baik bukan saja ke arah menangani masalah kekurangan guru, malah ke arah memantapkan lagi integrasi nasional, namun timbul kebimbangan di kalangan ibu bapa mengenai kuota guru Semenanjung di sesetengah kawasan di luar bandar negeri ini, yang dikatakan terlalu ramai berbanding guru tempatan.

Bahagian Kapit, kira-kira tiga jam perjalanan dengan bot dari bandar ini misalnya dikatakan menghadapi masalah lambakan guru Semenanjung sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa, yang mengadu kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS), parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili masyarakat luar bandar negeri ini.

Malah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kain, Baleh, dalam bahagian itu, kesemua kuota sembilan guru yang ditugaskan mengajar di sekolah berkenaan terdiri daripada guru dari Semenanjung, tanpa ada seorangpun guru tempatan.

Presiden PRS, Datuk Sri Dr James Jemut Masing berkata, sebanyak 71.4 peratus atau 500 daripada 700 guru di Bahagian Kapit adalah dari Semenanjung dengan majoritinya berasal dari Kelantan.

"Kita menghargai kesediaan guru dari Semenanjung berkhidmat di kawasan luar bandar di Sarawak dan berterima kasih kepada mereka, namun ibu bapa di luar bandar mahu supaya jurang perbezaan antara jumlah guru Semenanjung dan tempatan yang mengajar di luar bandar negeri ini dirapatkan.

"Sekurang-kurangnya jumlah guru Semenanjung dan tempatan diletakkan dengan jumlah yang seimbang. Kita membangkitkan perkara ini atas permintaan ibu bapa dan ia turut dijadikan salah satu resolusi PRS dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Kapit kelmarin," katanya.

Resolusi PRS turut meminta kerajaan menghubungkan bahagian Kapit dengan jalan raya dengan bahagian lain, kerana setakat ini hanya bahagian Kapit ibarat pulau di Sarawak, yang hanya boleh dihubungi dengan bot.

Berita Harian Online: 12 Januari 2009

Tiada ulasan: