Sabtu, 24 Januari 2009

Azam guru besar SK Penderas


SHAHIZAH Jasni menerima hadiah basikal daripada ADUN Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar (dua dari kanan) pada majlis Pencapaian Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR 2008 di Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 22 Jan. - Kejayaan empat pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas, Kuala Krau dekat sini memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini membuktikan anak-anak Orang Asli mampu mencapai kejayaan cemerlang jika ada kesungguhan.

Kejayaan itu juga secara tidak langsung menafikan pandangan sesetengah pihak kononnya masyarakat Orang Asli menolak pendidikan dan mahu terus kekal hidup dengan budaya nenek moyang mereka yang terus bergantung kepada hasil hutan sebagai mata pencarian.

Guru Besar SK Penderas, Sahri Shahalan berkata, sebaik sahaja ditugaskan sebagai guru besar di sekolah berkenaan tiga tahun lalu, beliau berazam untuk memberikan pendidikan terbaik kepada masyarakat dan anak-anak Orang Asli yang tinggal di kawasan Jenderak.

''Langkah awal saya ialah membetulkan sikap guru-guru dengan mengingatkan mereka tidak berada di zon selesa. Sebaliknya saya meminta mereka memberikan komitmen dan bekerja keras dua kali ganda daripada sekolah biasa.

''Alhamdulillah mereka faham dan menyahut cabaran tersebut. Saya menetapkan tahun 2010 sebagai visi guru-guru untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang pelajar Orang Asli mendapat 5A dalam UPSR.

''Bagaimanapun sasaran itu dicapai lebih awal apabila dua pelajar mendapat 5A dalam UPSR 2007," kata Sahri semasa ditemui pada majlis pencapaian anugerah pelajar cemerlang UPSR 2008 baru-baru ini.

Sahri berkata, kejayaan 100 peratus UPSR tahun lalu menyebabkan beliau terpaksa mengubah strategi visi 2010 kerana sasaran berjaya dicapai tiga tahun lebih awal.

Katanya, antara langkah yang diambil bagi meningkatkan pencapaian SK Penderas ialah melancarkan program motivasi dengan membawa Ahli Dewan Negara, Senator Awang Bongsu melancarkan marathon di kalangan pelajar Orang Asli sejak tahun 2006.

Selain itu, kata beliau, para pelajar sekolah berkenaan juga dibawa melawat sekolah Orang Asli yang maju di SK Bangku, Sepang, Selangor.

Katanya, pelajar yang berpotensi untuk mencapai kejayaan digalakkan tinggal di asrama serta menyarankan ibu bapa mereka datang setiap hujung minggu untuk berbincang dengan guru mengenai pencapaian dan perkembangan semasa pelajaran anak-anak mereka.

Tambah Sahri, menerusi pelbagai program motivasi, pelajar dan ibu bapa juga disarankan tidak merasa rendah diri kerana mereka juga mempunyai kebolehan sama dengan pelajar lain asli untuk mencapai kejayaan jika berusaha lebih gigih.

''Dua pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun 2007 telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh di Kuantan dan pihak sekolah akan turut membantu empat lagi pelajar yang mendapat keputusan yang sama tahun ini supaya mendapat biasiswa dan belajar di sekolah berasrama penuh.

''Selain UPSR, SK Penderas turut mencapai beberapa kejayaan dalam sukan dan kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan nasional. Semua kejayaan itu adalah hasil kerjasama guru, ibu bapa, kakitangan sekolah dan masyarakat," kata Sahri.

Pada tahun ini, beliau mensasarkan lapan pelajar dapat 5A dalam UPSR dan berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pelajaran dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) terus memberikan sokongan bagi mencapai wawasan Lonjakan Saujana 2010.

Menurutnya, kejayaan 2007 membolehkan pihak sekolah mendapat anugerah cemerlang dan wang RM300,000 sekali gus meletakkan SK Penderas menjadi tanda aras kejayaan Orang Asli di Pahang.

Empat pelajar yang mendapat 5A UPSR tahun lalu ialah Shahizah Jasni, Intan Kurniawati Karna Hidayat, Nasyamira Aireina Ali dan Salwani Bi.

Sementara itu, Jasni Kimoy dipilih sebagai menerima Anugerah Ibu Bapa berikutan kejayaan dua anaknya mendapat 5A dua tahun berturut-turut dalam UPSR iaitu Zuhaizah, 14, pada tahun 2007 dan Shahizah, 13, pada tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 23 Januari 2009

Tiada ulasan: