SAYA kecewa dengan pentadbiran Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) terutama urusan melalui telefon kerana sukar untuk mendapatkannya. Untuk pengetahuan saya menghantar surat kepada SPP bertarikh 11 Julai lalu dan diserahkan sendiri ke pejabat itu pada 17 Julai berkaitan penyemakan pelantikan saya sebagai pegawai perkhidmatan.
Kakitangan yang menerima surat itu berjanji akan memanjangkan kepada pegawai berkenaan tetapi tidak dapat menyatakan dengan tepat pegawai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyemak status saya itu apabila ditanya.
Saya diminta menghubungi SPP untuk mendapatkan jawapan mengenai semakan saya itu dan tempoh yang sesuai adalah sebulan daripada tarikh saya menghantar surat. Saya akur dengan jawapan itu walaupun kurang bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa rekod saya kemungkinan berada di arkib.
Pada bulan Ogos lalu, saya cuba menghubungi beberapa kali talian SPP tetapi tidak langsung dapat menghubungi malah operator pun tidak menjawab. Pada 19 Disember, saya akhirnya dapat menghubungi seorang pegawai yang bertugas tetapi malangnya bukan beliau yang mengendalikan kes saya.
Rakannya yang mengendalikan kes saya dikatakan bercuti, talian pegawai itu diberikan kepada saya. Saya menelefon semula dari 22 hingga 24 Disember tetapi tidak langsung berjawab walaupun saya menelefon bukanlah pada waktu puncak.
Walaupun panggilan saya ke talian pegawai berkenaan tidak bersambut, saya secara automatik disambung ke talian operator namun tidak pula berjawab. Persoalannya di mana agaknya semua pegawai SPP ini, daripada pegawai sehingga operator telefon tiada di dalam pejabat?
Pada masa sama, saya ingin menyemak status cukai pendapatan saya dan terus menghubungi talian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 23 Disember, dengan sekali dail saya berjaya dan dilayan oleh pegawai bertugas dan jawapan yang diterima amat memuaskan hati saya.
Dua insiden itu membuatkan saya berfikir. Kedua-duanya pejabat kerajaan cuma fungsinya saja berbeza.
BOSAN MENUNGGU
Kuala Kubu Bharu, Selangor
Berita Harian Online: 3 Januari 2009
Ahad, 4 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan