Jumaat, 23 Januari 2009

Jangan rahsia jika pelajar lakukan jenayah


WAN Mohd. Zahari Wan Busu bersalaman dengan guru-guru besar pada Majlis Pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Cameron Highlands di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands, semalam.


CAMERON HIGHLANDS 21 Jan. - Para pengetua dan guru besar sekolah diminta tidak merahsiakan perbuatan pelajarnya yang terlibat dengan jenayah daripada pengetahuan pihak polis semata-mata mahu menjaga nama sekolah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi boleh mengundang masalah pada kemudian hari.

''Kalau perbuatan jenayah ini disembunyikan, kita bimbang ia akan merebak seterusnya memudaratkan keselamatan pelajar lain dan sekolah itu sendiri.

''Perbuatan jenayah tidak perlu disembunyikan kerana lambat-laun ia tetap akan diketahui oleh polis," katanya ketika berucap pada Majlis Pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Cameron Highlands Tahun 2009 di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Zahari, pengetua dan guru besar yang mengetahui pelajar mereka terlibat dalam jenayah boleh berhubung terus dengan pegawai perhubungan sekolah untuk memaklumkan perkara itu agar tindakan segera boleh diambil.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya belum pernah menerima laporan pengetua atau guru besar menyembunyikan pembabitan pelajar dalam jenayah di daerah Cameron Highlands.

Malah katanya, daerah Cameron Highlands merupakan antara tempat yang mencatatkan kes jenayah paling rendah membabitkan pelajar sekolah di negara ini.

''Sepanjang tahun lalu misalnya, hanya tiga kes jenayah membabitkan pelajar dilaporkan berlaku di Cameron Highlands iaitu dua kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal.

''Tiga pelajar ditangkap kerana terlibat dalam kes pecah rumah manakala seorang lagi kes curi motosikal dan penangkapan mereka yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga hingga lima telah berjaya menyelesaikan kes tersebut," katanya.

Wan Mohd. Zahari berkata, keseluruhannya masalah jenayah di Cameron Highlands berada dalam keadaan terkawal apabila hanya 61 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, jumlah itu didapati menurun 23.75 peratus berbanding 80 kes yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2007.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2009

Tiada ulasan: