Selasa, 6 Januari 2009

Hanya lima murid baru di SK Jaya



ROBINA Azanbiah M Yusoff mengajar lima murid barunya di SK Jaya, Setiu, semalam.

SETIU: Lazimnya suasana hari pertama persekolahan meriah dengan kehadiran ratusan pelajar Tahun Satu yang memasuki alam persekolahan, tetapi bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya di sini, suasananya seperti hari persekolahan biasa kerana bilangan pelajar barunya cuma lima orang.

Guru Besarnya, Shallahuddin Jusoh, berkata walaupun suasana tidak semeriah tempat lain, pelajar baru di sekolah dalam ladang ini dirai dan gurunya komited menjalankan tugas mereka.

Katanya, faktor kekurangan murid bukan alasan mencuri tulang atau menjalankan tugas sambil lewa, sebaliknya pendorong bagi meningkatkan prestasi kerja dan kecemerlangan murid.

"Tahun ini jumlah keseluruhan pelajar kita ialah 42 orang. Bilangan paling ramai membabitkan pelajar Tahun Lima (13), Tahun Tiga (lapan), Tahun Dua (tujuh), Tahun Empat (lima), Tahun Satu (lima) dan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula dua orang.

"Kita juga beruntung kerana kementerian sangat prihatin dengan menambah dua lagi guru Bahasa Inggeris bagi meningkatkan kecemerlangan murid," katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam.

Shallahuddin berkata, keadaan itu bagaimanapun membawa banyak kebaikan kepada murid, guru dan ibu bapa kerana selain berkenalan lebih rapat, masalah dan perkembangan murid dapat diketahui secara terperinci.

Katanya, hubungan antara guru dan ibu bapa pelajar sangat rapat dan mereka saling tolong-menolong jika ingin mengadakan jamuan atau sebarang majlis.

"Semua guru di sini memang rapat dengan pelajar kerana jumlah pelajar yang sedikit membolehkan kami menumpukan sepenuh perhatian berbanding sekolah yang mempunyai lebih 30 murid dalam satu kelas.

"Cabaran kami adalah untuk memastikan kecemerlangan peperiksaan kerana setiap pelajar membawa peratusan yang tinggi. Kami berusaha sedaya upaya bagi memastikan pendidikan anak pekerja ladang setaraf pelajar di luar," katanya.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1970, jumlah pelajar di sekolah itu tidak pernah melebihi 100 orang dan jumlahnya semakin berkurangan sejak tugas pekerja ladang tempatan digantikan pekerja asing.

Berita Harian Online: 5 Januari 2009

Tiada ulasan: