Selasa, 27 Januari 2009

Penggunaan buku teks beri kesan positif dalam P&P


AZARIAH mengagihkan bekalan buku teks kepada muridnya.

ISU berkaitan beg berat di sekolah tidak akan berakhir kerana pelajar terpaksa membawa buku teks, selain buku kerja dan latihan yang akan digunakan guru ketika mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Penggunaan buku teks terus relevan walaupun guru mempunyai pilihan untuk melaksanakan kegiatan di bilik darjah dengan bantuan peralatan canggih teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Guru besar Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor, Asnaniar Alias, berkata penggunaan buku teks yang dilaksanakan secara menyeluruh memberi kesan positif dalam proses P&P.

Walaupun dunia dikejutkan dengan ledakan alat komunikasi canggih, beliau berkata, kaedah konvensional menerusi penggunaan buku teks dan bahan cetak berkaitan masih sesuai diguna pakai hingga ke hari ini.

Setiap kali proses pembelajaran berlangsung, katanya, kedua-dua bahan berkenaan dijadikan rujukan, selain bahan tambahan sama ada diambil daripada keratan akhbar, majalah atau internet.

Sementara itu, guru pengelola Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sekolah berkenaan, Azariah Yaacob, berkata penggunaan buku teks masih digunakan dalam sistem pendidikan semua peringkat di sekolah.

Rujukan itu kata beliau, dijadikan panduan kepada sukatan pelajaran bagi subjek yang diajar dan ia berkesan dalam meningkatkan pemahaman di kalangan murid.

Bagi melancarkan proses pengagihan buku teks, katanya, data pelajar dikemaskini seawal Mei untuk dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sebelum tindakan susulan ke Jabatan Pelajaran Negeri.

Memandangkan SPBT memberi peluang kepada semua murid mendapat pinjaman, katanya, ia lebih mudah kerana guru tidak perlu membuat tapisan bagi memilih mereka yang layak.

“Guru hanya menyediakan maklumat mengenai jumlah bekalan diperlukan untuk keperluan tahun seterusnya berdasarkan enrolmen murid sedia ada dan murid baru Tahun Satu seterusnya,” katanya.

Jika ada perubahan jumlah murid terutama membabitkan mereka yang bertukar sekolah, Azariah berkata, murid tadi perlu menunggu sehingga sesi persekolahan bermula untuk mendapatkan bekalan baru.

Bagi mereka yang bertukar sekolah dalam negeri yang sama beliau berkata, murid boleh membawa buku berkenaan ke sekolah baru.

Bagaimanapun katanya, bagi murid dari negeri lain mereka perlu mendapatkan buku berkenaan di sekolah baru.

“Proses ini mungkin mengambil masa kerana bekalan sedia ada akan diberikan kepada murid sekolah terbabit dan selebihnya diberikan kepada murid baru.

“Jika bekalan tidak mencukupi, guru akan mendapatkannya dari PPD,” katanya ketika ditemui di Bangi, baru-baru ini.

Seorang murid, Nur Alia Sabrina Mohamad Azlan, 10, berkata dia mendapat bekalan buku teks sebelum cuti semester akhir.

Buku berkenaan katanya, digunakan untuk mengulang kaji pelajaran sepanjang tempoh cuti .

“Setiap kali ke kedai buku saya akan melihat buku latihan dan jika sesuai, saya minta ibu untuk membelinya sebagai rujukan tambahan,” katanya.

Bagi guru mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, Norul Azman Mohammed Nor, berkata dia masih menggunakan buku teks sebagai bahan rujukan, selain menjadikan kemudahan ICT sebagai pelengkap.

Beliau berkata, segala ilustrasi menarik yang terkandung dalam buku teks akan dimuat turun ke dalam komputer bagi membolehkannya menggunakan secara interaktif. Gabungan buku teks dan kemudahan ICT ini memudahkan murid memahami sesuatu topik.

Berita Harian Online: 26 Januari 2009

Tiada ulasan: