Rabu, 7 Januari 2009

Kerenah sekolah urus 'budak baru'


Murid-murid tahun satu berhimpun pada hari pertama persekolahan sambil ditemani oleh ibu bapa masing-masing di Sekolah Kebangsaan Wawasan, Seremban 2, semalam.
- Gambar hiasan


HARI pertama persekolahan sememangnya sarat dengan pelbagai kerenah murid-murid, guru-guru dan ibu bapa. Selain gelagat 'budak baru' tahun satu yang bercampur aduk antara manja, gementar, kurang keyakinan diri dan tidak kurang juga yang berlagak berani, banyak lagi yang boleh disorot pada hari pertama sesi persekolahan tahun ini.

Paling pasti ialah mengenai sejauh mana pihak pengurusan sekolah membuat persiapan menyambut kehadiran sesi pembelajaran 2009 setelah hampir dua bulan membiarkan bangunan sekolah sepi kecuali pada hari pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Saya sempat menonton rancangan Malaysia Hari Ini terbitan TV3 pagi semalam yang memaparkan persiapan rapi sebuah sekolah di Sungai Tua, Selangor untuk menghadapi tarikh 5 Januari 2009. Dan apabila tarikh tersebut tiba semalam, segala-galanya berjalan lancar dan tidak kelihatan suasana kelam kabut terutama bagi menempatkan murid-murid tahun satu.

Persediaan itu bukan saja memudahkan pihak pengurusan sekolah, malah ibu bapa dengan senang hati meninggalkan anak masing-masing manakala 'budak-budak baru belajar' itu tidak ketara kecelaruannya.

Saya membuat kesimpulan sendiri, mungkin sekolah-sekolah lain di Selangor begitu juga terutama sekolah di tempat saya tinggal yang kelas untuk tahun satu bagi sesi ini menjangkau 10 buah dengan jumlah murid lebih 400 orang.

Namun proses yang berjalan lancar di Sungai Tua nampaknya tidak berlaku di sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi. Segala-galanya seperti tidak dirancang seolah-olah baru semalam diketahui sesi persekolahan akan dibuka. Seolah-olah juga baru semalam dimaklumkan bahawa murid-murid tahun satu akan memulakan pembelajarannya, bermakna ada banyak keperluan tambahan yang perlu disediakan.

Tiga bilik darjah tidak dapat disiapkan menyebabkan penempatan murid di dalam kelas tidak dapat dilakukan dengan lancar. Tidak dipersoalkan perihal bilik darjah baru yang belum sempurna mungkin pihak sekolah ada masalah dengan kontraktor atau faktor musim hujan, bangunan baru tidak dapat disiapkan pada tarikh sepatutnya.

Yang dipersoalkan ialah, masalah bilik darjah tidak disiapkan telah ada dalam pengetahuan pihak pengurusan sekolah sejak awal iaitu sepanjang sekolah ditutup. Bukankah mesyuarat guru-guru yang diadakan bagi menyusun hari persekolahan pertama sepatutnya menyentuh hal tersebut.

Pihak pengurusan pasti arif akan wujud masalah kekurangan kelas dan sepatutnya telah merancang ke mana hendak ditempatkan murid-murid ini - di kantin, pusat sumber, foyer atau floating dengan menyenaraikan bilik-bilik darjah mengikut urutan kekosongan. Ibu bapa tidak kisah di mana anak mereka ditempatkan, yang ingin dilihat ialah adanya perancangan rapi pihak sekolah untuk memastikan segala-galanya tersusun.

Tentu guru-guru kelas tahun satu telah dimaklumkan perkara tersebut dan mereka telah bersedia untuk membawa murid-murid ke destinasi masing-masing.

Tetapi kesiapsiagaan yang diharapkan tidak berlaku di sekolah itu. Selesai perhimpunan, sejumlah lebih 100 murid yang tidak 'berumah' dibawa ke tingkat dua salah sebuah bangunan sekolah dan menunggu di luar bilik darjah yang telah pun dipenuhi dengan murid-murid lain.

Guru-guru kelas sendiri tidak tahu ke mana 'tetamu baru' itu hendak ditempatkan dan tertanya-tanya sesama mereka. Apabila ada ibu bapa bertanya mereka menjawab tidak tahu. Sehinggalah akhirnya satu kelas di tingkat tiga kosong dan di situ murid-murid ditempatkan. Namun penyelenggaraan serta suasana bilik darjah itu seperti tidak mengalu-alukan kehadiran murid-murid baru.

Kipas yang rosak tidak diselenggara manakala kerusi, meja dibiarkan dalam keadaan uzur dan kusam warnanya. Bukan ibu bapa memilih jauh sekali cerewet, cuma timbul tanda tanya apa agaknya aktiviti pengurusan sekolah semasa musim cuti sementara menunggu sesi baru dibuka.

Tidak bolehkah sistem pendawaian untuk lampu dan kipas diperiksa dan dipastikan ia selamat serta boleh digunakan.

Rakyat Malaysia mesti belajar menjadi perancang serta pelaksana yang berkesan. Setiap kelemahan mesti segera diatasi dan bukan menunggu 'tanah runtuh' baru mahu dicari jalan penyelesaiannya.

Utusan Malaysia Online: 6 Disember 2009

Tiada ulasan: