Ahad, 18 Januari 2009

Silibus Tahap Satu dikurang dua tahun

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Usaha pastikan murid kuasai kemahiran 3M

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan mengurangkan tempoh pendidikan Tahap Satu sekolah rendah kepada dua tahun, manakala Tahap Dua menjadi empat tahun.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata ia sebahagian daripada transformasi pendidikan rendah yang akan dilaksanakan tahun depan jika projek rintis sedia ada mencatat kejayaan dan berkesan.

“Ini bermakna pendidikan Tahap Satu hanya meliputi Tahun Satu dan Tahun Dua, manakala Tahun Tiga dimasukkan dalam peringkat Tahap Dua bersama Tahun Empat sehingga Tahun Enam.

“Penukaran Tahun Tiga kepada Tahap Dua mempercepatkan peningkatan kualiti pendidikan mereka.

“Rasional langkah ini ialah murid sekarang didapati tidak memulakan persekolahan Tahun Satu daripada ‘kosong’ kerana kebanyakan mereka didedahkan kepada pendidikan prasekolah.

“Generasi sekarang lebih bersedia memulakan persekolahan, tambahan pula kerajaan menyediakan banyak kemudahan pendidikan awal yang menjadi sebahagian daripada nikmat kemajuan negara,” katanya.

Alimuddin berkata, transformasi pendidikan dilaksanakan berperingkat dan dimulakan dengan murid Tahun Satu tahun depan.

Ditanya kemungkinan ada murid terutama di luar bandar atau pedalaman yang tidak mampu menguasai kemahiran 3M sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, beliau berkata, bilangannya berkurangan tetapi guru terbabit akan menumpukan usaha membantu mereka.

Bagaimanapun, Alimuddin tidak menolak kemungkinan pelaksanaan transformasi pendidikan tahun depan lewat sedikit jika banyak masalah atau kekurangan dalam projek rintis, termasuk yang membabitkan 500 sekolah rendah tahun ini.

Katanya, antara aspek utama diberi tumpuan ialah menangani jadual waktu padat, bilangan mata pelajaran yang banyak dan penekanan keterlaluan kepada kecemerlangan akademik.

“Transformasi kurikulum dilaksanakan bagi menangani isu ini dengan memberi penekanan kepada pembelajaran menyeronokkan, mengurangkan bilangan mata pelajaran peperiksaan, memberi penekanan lebih kepada taksiran berasaskan sekolah, meningkatkan pembabitan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah serta memperkukuh penghayatan nilai seperti perpaduan, alam sekitar dan patriotisme,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Januari 2009

Tiada ulasan: