Sabtu, 3 Januari 2009

Respons: Kembali ke meja rundingan PPSMI, bukan ke mahkamah

Oleh Zainor Said
zainor@bharian.com.my

KEMELUT mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) belum nampak kesudahannya, walaupun sesi persekolahan 2009 akan bermula Ahad dan Isnin depan. Ini bermakna pelajar di sekolah rendah harus meneruskan pembelajaran mereka bagi kedua-dua subjek berkenaan dalam dwibahasa, seperti yang dilaksanakan ketika ini.

Harapan untuk melihat Kementerian Pelajaran membuat satu ketetapan mengenainya, sama ada kembali kepada bahasa Melayu atau menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris bermula sesi persekolahan 2009, belum dapat dipastikan. Sebaliknya apa yang berlaku kini ialah isu itu semakin panas dan menyukarkan pihak kementerian membuat keputusan.

Apatah lagi apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang membantah dasar itu sehingga mahu mengheret Kementerian Pelajaran ke mahkamah dan terbaru semua 25 kesatuan guru pula turut menyatakan bantahan mereka serta menggesa kementerian kembali menggunakan bahasa Melayu.

Tindakan kesatuan guru agak mengejutkan, aneh dan mengelirukan. Selama ini mereka dianggap nadi penggerak pelaksanaan PPSMI, tetapi akhirnya mereka membantah dasar yang diperkenalkan sendiri Kementerian Pelajaran. Agak menghairankan hanya selepas enam tahun pelaksanaan dasar itu, kesatuan yang mewakili 350,000 pendidik di seluruh negara baru kini menyatakan bantahan dan menggesa kerajaan kembali kepada pengajaran dalam bahasa Melayu.

Berjaya atau gagal PPSMI sepatutnya boleh dikesan sejak awal kerana pihak Nazir dari semasa ke semasa turun padang dengan membuat lawatan serta tinjauan ke sekolah untuk melihat sendiri pelaksanaan PPSMI. Mereka juga menyediakan laporan kepada pihak atasan mengenai prestasi pelajar terbabit dengan dasar berkenaan.

PPSMI mula dilaksanakan pada 2003. Setakat ini kerajaan telah membelanjakan berjuta ringgit untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk membayar elaun khas kepada guru yang mengajar kedua-dua subjek berkenaan. PPSMI dilaksanakan bertujuan membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris agar mereka mampu bersaing dengan pelajar asing, terutama dalam matematik, sains dan teknologi.

Baru-baru ini, menerusi persidangan meja bulat terakhir yang disertai wakil pelbagai agensi termasuk Pakar Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria dari Australia merumuskan tujuh alternatif untuk dipertimbangkan Kementerian Pelajaran. Persidangan itu membuktikan Kementerian Pelajaran bersikap telus dan terbuka untuk memberi peluang kepada pelbagai pihak mengemukakan pandangan mengenai isu itu.

Sehingga kini kita belum mengetahui apakah langkah seterusnya bakal diambil Kementerian Pelajaran. Berdasarkan respons rambang dan reaksi pelbagai pihak yang disiarkan media, semakin banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyatakan bantahan dan tidak bersetuju dasar itu diteruskan, terutama dari kalangan orang Melayu.

Apa yang berlaku kini agak malang kerana selain PPSMI dikatakan gagal membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik, ia juga didakwa menjadi punca prestasi buruk sebahagian besar pelajar khususnya Melayu di luar bandar bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan. Selain itu ada juga pihak mendakwa, pelaksanaan PPSMI meminggirkan bahasa Melayu dan menjatuhkan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Mereka mahu bahasa Melayu terus dipertahankan dan menjadi bahasa pengantar di sekolah, termasuk bagi pengajaran Sains dan Matematik.

Bagaimanapun tindakan Gapena untuk menyaman Kementerian Pelajaran jika PPSMI diteruskan disifatkan sesetengah pihak agak keterlaluan. Apa yang dikatakan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, tindakan Gapena itu tidak membina dan membawa kebaikan kepada kemajuan pendidikan anak bangsa, sedikit sebanyak ada juga kebenarannya.

Kita yakin setiap dasar diperkenal dan dilaksanakan kerajaan terutama berkaitan pendidikan tentunya untuk kebaikan, bukan bertujuan merosakkan masa depan anak bangsa. Cuma apa yang berlaku dalam isu PPSMI yang membantutkan matlamatnya ialah dari segi pelaksanaannya berikutan beberapa permasalahan yang timbul seperti jurang prestasi pelajar bandar dan luar bandar serta kekurangan guru Sains dan Matematik yang mahir bahasa Inggeris.

Kita harap pemimpin dalam Gapena agar mengkaji balik niat mereka untuk menyaman Kementerian Pelajaran atau mengambil tindakan yang boleh mengusutkan keadaan. Kita percaya masih ada ruang dan saluran bagi kedua-dua pihak serta wakil kesatuan guru untuk kembali ke meja rundingan mencari kaedah terbaik bagi menangani isu PPSMI. Sama ada Gapena, kesatuan mahupun Kementerian Pelajaran, kita yakin mereka mempunyai ‘nawaitu’ yang betul dan murni, demi kemajuan pelajar dan juga memelihara martabat bahasa Melayu.

Tumpuan sekarang hendaklah diberikan kepada usaha mencari kaedah alternatif yang lebih berkesan untuk membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris sekiranya mereka dapati PPSMI tidak sesuai atau gagal, tanpa meminggirkan bahasa Melayu. Anggaplah usaha ini demi membantu dan membela anak bangsa. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris dapat memberi nilai tambah kepada pelajar khususnya di luar bandar bagi membolehkan mereka bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa pada masa depan.

Selain mahu mengangkat martabat bahasa Melayu, kita juga harus sedar kini ramai pelajar bukan Melayu begitu mahir menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar Melayu. Malahan di sesetengah sekolah, mereka juga mengatasi pelajar kita bagi subjek bahasa Melayu. Ini bermakna mereka mempunyai kelebihan dengan menguasai tiga bahasa sekali gus, berbanding pelajar Melayu, yang sesetengahnya hanya mahir bahasa ibunda semata-mata.

Keyakinan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris begitu meyakinkan menyebabkan ramai graduan Cina dan India lebih menyerlah dalam kerjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Kita harus akui dan menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris amat penting dikuasai pelajar kerana ia menjadi bahasa komunikasi penduduk di seluruh dunia dan juga bahasa ilmu yang begitu luas penggunaannya, terutama dalam dunia sains dan teknologi maklumat.

Berita Harian Online: 2 Januari 2009

Tiada ulasan: