Oleh Samsudin Oli Mohamed
BERKAT usaha dan kesungguhan tak mengenal jemu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Alor Star mencatat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.
Dengan pencapaian pelajar 100 peratus lulus dan seramai 51 mendapat 9A dalam peperiksaan itu, SMKA Kedah berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit di negeri itu serta mencatat sejarah tersendiri. Malah, kebanyakan pendidik di sekolah berkenaan tidak menyangka dengan kejayaan dicapai itu.
Lebih manis, kejayaan tersebut dikongsi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abdul Rahman yang telah menyampaikan sendiri slip peperiksaan kepada pelajar cemerlang di sekolah berkenaan.
Terdahulu ucapannya, Shahidan, mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang, sekali gus menaikkan imej sekolah.
Sambil memuji sumbangan dan pengorbanan guru serta ibu bapa, Shahidan, berkata lonjakan dalam PMR adalah tanda positif dalam bidang pendidikan di negeri itu.
Salah seorang pelajar, Mohd Faiz Mokhtar Kamal, mengucapkan rasa syukur kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Saya percaya hanya usaha gigih dan berterusan saja mampu membantunya mencapai kejayaan manis tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ummi Hazwani Ishar, berkata keputusan yang diperoleh sudah dijangka berdasarkan ujian percubaan yang diduduki sebelum ini.
Ditemani keluarganya, Ummi mengucapkan terima kasih kepada guru kerana banyak membantu mencapai keputusan yang diperoleh itu.
Berita Harian Online: 1 Januari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan