Rabu, 7 Januari 2009

30 sekolah masih ditutup di Kelantan

TUMPAT: Banjir yang tidak banyak berubah di Kelantan semalam menyebabkan kira-kira 17,000 murid dan pelajar belum dapat memulakan sesi baru persekolahan bermula kelmarin kerana 30 sekolah masih ditutup.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata sehingga semalam, lapan sekolah di Kuala Krai dan Pasir Mas sudah dibuka untuk sesi persekolahan, berbanding 38 sekolah terjejas kelmarin membabitkan 30,000 murid.

Setakat ini 24 Sekolah Kebangsaan (SK) dan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sekitar jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah masih ditutup kerana banjir serta laluan ke sekolah terputus.

“Jika banjir semakin pulih, kita jangka lebih banyak sekolah dibuka, tetapi beberapa sekolah mungkin terpaksa ditutup beberapa hari lagi kerana terjejas teruk. Kita berharap keadaan pulih bagi membolehkan pelajar segera ke sekolah,” katanya selepas meninjau SK Kampung Laut di sini.

Mohd Ghazali berkata, empat sekolah di Kota Bharu, Tumpat dan Rantau Panjang yang kini digunakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir, meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana tidak mengganggu proses pembelajaran pelajar.

Katanya, pengumuman mengenai pembukaan sekolah yang terjejas akan dimaklumkan menerusi siaran radio Kelantan FM dari semasa ke semasa, selain hebahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.

“Saya berharap, ibu bapa akan menghantar anak mereka ke sekolah dengan segera sebaik dibuka kerana Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan tidak mahu ada pelajar ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Laut, Hasnah Mohamood, berkata sekolah berkenaan dibuka hari ini selepas kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah dilakukan secara bergotong-royong oleh guru dengan bantuan ibu bapa, semalam.

Katanya, sekolah yang mempunyai 659 murid itu terpaksa ditutup dua hari kerana kawasan sekolah digenangi banjir akibat limpahan air Sungai Kelantan selepas hujan lebat berterusan sejak tengah malam Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, air yang naik mendadak secara tiba-tiba itu tidak merosakkan peralatan sekolah termasuk kerusi meja dan buku teks kerana kita sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan pusingan kedua banjir,” katanya.

Berita Harian Online: 6 Januari 2009

Tiada ulasan: