Khamis, 8 Januari 2009

Sekolah Terbilang: Kejayaan berputik

Oleh Amad Bahri Mardi
upen@bharian.com.my




Walaupun baru enam tahun, SKTKJ catat kecemerlangan akademik, kokurikulum

WALAUPUN baru enam tahun Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya (SKTKJ), Kota Tinggi, Johor beroperasi, secara keseluruhan sekolah itu berjaya menterjemahkan slogan yang menjadi motonya iaitu 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang'.

Ini berikutan SKTKJ dibuka pada 2003 yang juga boleh disifatkan setahun jagung berbanding sekolah lain sekelas dengannya dan lebih lama beroperasi, menyaksikan pelbagai kejayaan bukan saja dalam bidang akademik, malah kokurikulum.

Dalam bidang akademik, sekolah itu saban tahun mencatat kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kecuali 2006, yang bukan saja memperlihatkan peningkatan jumlah peratus lulus, malah pertambahan dari segi bilangan calon mendapat 5A.

Guru Besar sekolah yang turut menjadi model sekolah lain di daerahnya, Mohd Tahir Sharif, berkata seramai 19 calon mendapat 5A pada 2003, kemudian meningkat kepada 29 orang tahun berikutnya, bagaimanapun peratus kelulusan menurun sedikit pada 2005 dan 2006.

Dua tahun kebelakangan, katanya, prestasi calon UPSR sekolah itu kembali melonjak apabila 30 calon mendapat 5A pada 2007 dan 36 orang tahun lalu.

“Walaupun kelulusan keseluruhan belum lagi mencapai 100 peratus, warga sekolah ini sentiasa berazam, berusaha dan berdoa bagi mencapai matlamat itu.

“Berdasarkan latar belakang murid, bukan mudah untuk mencapai sasaran berkenaan, bagaimanapun kita akan berusaha ke arah itu.

“Kita sentiasa meletakkan sasaran tinggi setiap tahun, contohnya 40 calon mendapat keputusan cemerlang UPSR tahun ini,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, baru-baru ini.

Bagi mencapai sasaran itu, Mohd Tahir berkata, pihaknya melakukan pelbagai usaha termasuk mengenal pasti calon berpotensi dan memberi bimbingan berterusan sejak di Tahun Lima lagi.

Seperti amalan sebelumnya, beliau berkata pelbagai program tahunan dijalankan untuk murid Tahun Enam antaranya kelas malam.

Beliau yang gembira kerana mendapat kerjasama semua pihak, khususnya daripada guru dan ibu bapa berkata, bagi mendedahkan murid dengan teknologi maklumat, sekolah itu turut menyediakan makmal komputer.

Katanya, murid mendapat banyak manfaat menerusi kemudahan ini dan ia juga sebahagian daripada faktor yang mendorong kejayaan mereka dalam UPSR.

“Turut diberi penekanan, semua guru mata pelajaran Tahun Enam dikehendaki menyediakan modul khas untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Berdasarkan pendekatan ini, didapati bukan saja guru dapat memfokuskan pengajaran, malah murid lebih mudah memahami, selain suasana pembelajarannya seronok,” katanya.

Bagi melahirkan murid seimbang, SKTKJ turut memberi tumpuan terhadap kokurikulum dan setakat ini pelbagai kejayaan diraih murid sekolah berkenaan.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Yazid Zakaria, berkata selain acara olahraga yang disertai setiap tahun pada peringkat daerah, sukan memanah dan boling adalah dua jenis acara diberi tumpuan utama sekolah itu.

Beliau berkata, kejayaan murid sekolah itu dalam dua acara berkenaan membanggakan kerana berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, termasuk boling tahun lalu.

“Setiap tahun, sekolah kami secara automatik dipilih mewakili daerah bertanding di peringkat negeri bagi acara memanah dan boling,” katanya yang juga jurulatih bertauliah bagi pasukan memanah sekolahnya.

Paling membanggakan, katanya, pasukan bola sepak sekolah itu buat pertama kali muncul juara dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah tahun lalu.

Sementara dalam acara kokurikulum akademik pula, Mohd Yazid berkata, kejayaan terbaru sekolah itu ialah menjuarai Pertandingan Sketsa Petronas StreetSmart peringkat negeri, sekali gus mewakili Johor ke peringkat kebangsaan.

Berita Harian Online: 7 Januari 2009

Tiada ulasan: