TUMPAT: Hampir 1,000 pelajar dan guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muhammadi Pasir Pekan, di sini, mengadakan demonstrasi secara aman membantah pencerobohan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Pelajar dan guru terbabit yang diketuai Pengetuanya, Muslim Che Yusof, berhimpun di pekarangan sekolah itu sejak jam 8 pagi semalam dan berakhir dua jam kemudian bagi mengutuk kekejaman tentera Yahudi itu.
Muslim berkata, warga sekolah itu membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Enam Atas serta 58 guru.
"Demonstrasi ini adalah tanda keprihatinan warga sekolah ini terhadap penderitaan rakyat Palestin berikutan tindakan kejam tentera Israel di Wilayah Gaza.
"Kami tidak mahu ketinggalan, justeru hari ini, kami bersama-sama dengan masyarakat negara ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan tentera Zionis itu," katanya ketika ditemui pada majlis itu, semalam.
Muslim berkata, selain demonstrasi secara aman, pihaknya turut menganjurkan solat hajat dan kutipan derma bagi menzahirkan rasa simpati terhadap nasib umat Islam di negara Palestin.
Katanya, kutipan derma daripada seluruh warga sekolah itu akan diserahkan kepada pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk disalurkan kepada penduduk Gaza.
Berita Harian Online: 19 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan