RANTAU PANJANG 2 Jan. - Seramai 85 orang guru baru menerima surat bagi penempatan pertama mereka di sekolah-sekolah di negeri ini di sini semalam.
Mereka yang terlibat termasuk 72 pemegang Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ditempatkan di sekolah rendah dan sekolah Orang Asli manakala 13 orang lagi pemegang Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) ditempatkan di sekolah menengah.
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Zahari Daud ketika berucap pada majlis penempatan itu mengingatkan bahawa golongan guru mempunyai tanggungjawab yang besar apabila memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya.
Katanya, tanggungjawab yang dilaksanakan itu akan membolehkan kanak-kanak mendapat ilmu dan mengubah keadaan hidup mereka pada pada masa depan.
''Kita telah ditauliahkan untuk mengajar mereka dan tidak boleh mengharapkan orang lain bagi melakukannya.
"Ia jelas dengan bukti yang diterima menunjukkan kebanyakan kejayaan yang diperoleh pelajar berpunca dari tunjuk ajar daripada guru," katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang di sini semalam.
Sementara itu, seorang guru baru, Syafizah Samsuddin, 29, berkata, dia gembira kerana akhirnya hasrat untuk menjadi seorang guru tercapai setelah melalui pelbagai cabaran.
''Selepas tingkatan lima, saya berusaha untuk menyertai kursus perguruan tetapi gagal," katanya.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut, dia bekerja sebagai kerani dan berkahwin.
''Saya berhenti menjadi kerani sebelum mengambil kursus berkenaan dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK), Pasir Linggi, saya bercadang untuk menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anak tempatan itu," kata ibu kepada dua orang anak itu.
Yusman Eni, 29, berkata, dia menjadi guru sandaran sebelum mendapat peluang menyertai kursus perguruan.
''Saya bersyukur mempunyai tauliah yang diperlukan dan berazam akan meningkatkan pencapaian murid-murid di SK Pasir Tumbuh, iaitu sekolah tempat pertama saya mengajar selepas tamat kursus," katanya.
Suganthi Danapal, 26, berkata, dia berbesar hati mendapat tempat untuk mengajar Bahasa Tamil di SK Tanah Merah 1.
''Saya akan berusaha bukan sahaja memperkenalkan bahasa itu tetapi menjadikan bahan berinteraksi dengan murid lain," kata guru dari Perak itu.
Pang Fei Yin, 29, yang akan mengajar di SK Gua Musang berkata, dia yakin dapat mengajar dengan baik mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah tersebut setelah menjalani kursus itu sebelum ini.
Bekas kerani akaun itu memberitahu, dia akan mengambil pendekatan pengajaran serta pembelajaran yang membantu murid-murid meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran itu.
Chung Liu Sing, 29, berkata, dia diberi peluang mengajar di SK Bukit Jering, Jeli yang mempunyai 100 peratus murid Melayu.
''Saya tidak menghadapi masalah untuk mengajar mereka kerana mempunyai pengalaman dibesarkan di Kampung Pulau Raya, Tanah Merah," kata bekas kerani itu.
Utusan Malaysia Online: 3 Januari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan