Jumaat, 23 Januari 2009

Guru aktif jual produk MLM abai pelajar

SAYA dipelawa seorang rakan sekerja untuk menjadi ahli syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM), namun saya tidak berminat dan menolak pelawaan itu dengan baik.

Apa yang menarik perhatian saya mengenai MLM ialah majalah bulanan syarikat itu keluaran Disember 2008, pada satu ruangan bertajuk ‘Guru Rasai Kepuasan Sertai Elken.’ Persoalannya, berapa ramaikah guru yang menjadi pengedar berjaya kepada syarikat MLM. Guru menghabiskan masa untuk menjual produk syarikat berkenaan.

Jika ingin berjaya sebagai pengedar bertaraf berlian, nilam dan delima dalam syarikat MLM, mereka perlu menjual produk dalam jumlah tertentu untuk mendapat mata ganjaran dan perlu hadir kursus kepemimpinan yang diatur syarikat.

Begitu juga dengan pensyarah di kolej pengajian awam yang saya lihat sibuk menjual produk kesihatan. Jika guru dan pensyarah sibuk memasarkan produk masing-masing daripada buku, bagaimana dengan nasib anak murid dan pelajar? Bukankah tugas utama guru mendidik dan mengajar.

Saya tidak mempertikai jika guru dan pensyarah mencari pendapatan lebih tetapi dari segi perkhidmatan, tidak manis jika pegawai kerajaan terkejar-kejar wang, lebih pentingkan tugas sebagai pengedar daripada tugas rasmi sebagai guru di sekolah sedangkan setiap bulan dibayar gaji.

Kalau betul sudah kaya menjadi pengedar seperti terpapar dalam majalah syarikat, kenapa tidak lepaskan saja jawatan guru atau pensyarah kalau perniagaan itu lebih memberikan kepuasan? Berapa ramai guru ini benar-benar ikhlas dengan tugas mereka.

Dulu pernah menjadi isu guru dan pensyarah mengajar sambil lewa di sekolah tetapi bersungguh-sungguh mengajar di pusat tuisyen, lalu pihak kementerian mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan guru mengajar tuisyen kecuali mendapat kebenaran ketua jabatan dan mendaftarkan pusat berkenaan.

Mungkin kementerian patut fikirkan apa pula tindakan yang sesuai diambil bagi memastikan pendidik di sekolah ini datang daripada guru yang komited dengan tugas guru bukan tugas jual penapis air atau susu.

FAIZAH DIN,
Sungai Petani, Kedah.

Berita Harian Online: 22 Januari 2009

Tiada ulasan: