Oleh Dr Sharifudin Lubis
SYABAS dan tahniah diucapkan kepada Berita Harian kerana sentiasa memberi ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk memperkatakan mengenai nasib bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran globalisasi. Sudah lama perdebatan berkisar isu ini dilayan dan pelbagai pandangan dipaparkan untuk perhatian segenap lapisan masyarakat.
Pada detik mutakhir kini, isu paling utama ialah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan kaitannya dengan kelestarian bahasa Melayu serta taraf kedaulatannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran sudah membuat beberapa syor. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) juga sudah menyatakan pendiriannya dan terbaru, Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran juga bersuara. Semuanya membawa kepada dua situasi; bahasa Melayu akan terus hidup berdaulat atau mati terhina di bumi sendiri.
Jadi, sebelum apa juga pilihan dimuktamadkan, wajiblah pemimpin bermuhasabah dan sentiasa percaya bahawa keputusan yang diambil itu nanti akan terpahat sebagai catatan sejarah untuk rujukan generasi akan datang.
Jika baik, anak cucu nanti akan menyanjung, tetapi jika sebaliknya, kita akan terhina sehingga akhir zaman. Ingatkah bagaimana pemansuhan tulisan Jawi dulu?
Isu ini bukan kecil. Pilihan yang dibuat bakal menentukan bukan saja soal bahasa Melayu semata-mata, malah juga soal bangsa, soal maruah, soal merdeka dan soal menjadi negara maju. Bahasalah nanti yang akan menentukan jenis bangsa kita. Bahasalah nanti yang akan menjadikan bangsa kita bangsa bermaruah, bukan bangsa peminjam.
Bahasalah nanti yang akan membuktikan bangsa kita benar-benar sudah merdeka, merdeka fizikal dan merdeka mental. Bahasalah nanti yang akan membuktikan negara kita benar-benar menjadi negara yang maju dalam acuan kita sendiri.
Belum berlaku dalam sejarah moden ini, ada negara maju menggunakan bahasa bangsa lain. Malah, Thailand yang jauh di hadapan dalam bidang pertanian berbanding negara kita, tidak pun menjadi bahasa asing sebagai wadah untuk mencapai kemajuan itu.
Ketua Pengarah Pelajaran juga menyatakan bahawa kementerian tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Segala pandangan diambil kira kerana ia membabitkan masa depan generasi muda. Namun, apakah dasar PPSMI ini dulu tidak terburu-buru? Ketika dilaksanakan dulu, adakah soal masa depan generasi muda dan bahasa Melayu diambil kira? Apakah pandangan pelbagai pihak dipertimbangkan?
Kebetulan baru-baru ini, pada bahagian akhir satu program wawancara secara langsung di TV1, saya fikir Alimudin sudah memberi alasan salah mengenai pelaksanaan PPSMI. Kata beliau, PPSMI diharap dapat melonjakkan pencapaian rakyat Malaysia dalam bidang Sains dan Matematik.
Persoalannya, apakah Malaysia terlalu mundur dari segi itu? Kita baru saja menghantar angkasawan ke angkasa lepas. Sebelum pemilihan Dr Syeikh Muzaffar dan Dr Faiz Khaleed dibuat, beratus-ratus calon lain terpaksa melalui proses pemilihan yang sangat ketat.
Tidakkah mereka boleh dijadikan tanda aras bahawa pencapaian rakyat Malaysia dalam ilmu Sains dan Matematik sudah setanding dengan negara peneroka angkasa raya? Berapa negara yang mampu berbuat demikian? Benar, kerajaan berbelanja besar untuk program itu, tetapi tidakkah itu tandanya kerajaan kita sendiri yakin akan kesediaan dan kemampuan rakyat?
Saya tidak faham kenapa kita masih belum dapat mengiktiraf kejayaan kita dalam bidang Sains dan Matematik sehingga melaksanakan dasar PPSMI. Beribu-ribu jurutera, arkitek, doktor, profesor, inventor, pakar dalam pelbagai bidang dilahirkan menerusi sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu.
Jadi apakah sebenarnya matlamat PPSMI? Jika hendak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kurikulum, guru-guru, strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P), infrastruktur bahasa Inggeris sajalah yang dipertingkatkan. Janganlah umpama 'lain yang sakit, lain yang diubat.'
Saya juga hairan apabila Ketua Pengarah Pelajaran menyatakan bahawa ada pakar luar negara yang dijemput untuk menilai sistem pendidikan kita. Apakah rasionalnya? Wajarkah kita mengiktiraf kepakaran mereka sedangkan latar mereka berbeza?
Atas jemputan (dibayar dan ditaja?) dan pengiktirafan kita kepada mereka, sudah tentulah mereka akan melaporkan yang 'mulus-mulus' saja. Tidakkah kita sedar bahawa kepakaran mereka tidak dapat menyelamatkan negara mereka daripada keruntuhan moral dan kesirnaan nilai? Masihkah kita percaya kepada idealisme mereka? Sudah merdekakah kita seluruhnya � fizikal dan mental?
Kita perlu rasional. Kembalilah kepada hakikat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sudah berbuih mulut cendekiawan kita menyebutkan bahawa semua negara yang sudah mencapai status negara maju, membangun dan membina tamadun menggunakan bahasa mereka sendiri.
Pada masa sama, mereka masih mampu mengeksport pakar dan kepakaran mereka ke luar negara. Kita sendiri menjemput beribu-ribu pakar luar negara membantu kita membangunkan Malaysia dan hampir tidak ada di kalangan mereka menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan buah fikiran mereka.
Sebaliknya, kita pula terpaksa menelaah bahasa mereka untuk memahami mereka. Sudah merdekahkah kita? Satu perkara lagi yang harus diingat oleh penentu dasar pelajaran negara ialah hakikat bahawa bukan bahasa Inggeris saja yang menjadi sumber ilmu dan ketamadunan era globalisasi. Angkasawan kita naik ke angkasa lepas dengan menggunakan bahasa Russia, bukan bahasa Inggeris.
Potensi pasaran terbuka negara China sekarang seharusnya menarik minat kita untuk menguasai bahasa Mandarin. Mengapa tidak kita menggunakan bahasa Mandarin untuk menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik?
Sudah terbukti pula, anak yang berbahasa Mandarin sememangnya terkehadapan dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Masyarakat Malaysia juga akan menjadi lebih telus dan tulus kerana mengetahui pelbagai bahasa tempatan.
Jadi saya suka mengesyorkan, di samping memikirkan untuk meneruskan PPSMI atau tidak, wajar juga difikirkan keperluan mengajarkan Sains dan Matematik menggunakan bahasa Mandarin. Selamatkanlah bahasa Melayu.
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Berita Harian Online: 8 Januari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan