Sabtu, 17 Januari 2009

SMKS2 sumbang RM2,100 untuk Dakap


KALSOM Khalid menyampaikan cek bernilai RM2,100 untuk Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) kepada Mohammad Yasir Jaafar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2 (SMKS2), semalam.


SEREMBAN 15 Jan. - Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2 (SMKS2) menjadi sekolah pertama di Negeri Sembilan memperlihatkan keprihatinannya dengan menyumbang sebanyak RM2,100 untuk Tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap).

Pengetua SMKS2, Datin Maznah Yusof berkata, pihak sekolah telah mengadakan derma kilat selama empat hari untuk mengutip dana disalurkan kepada Dakap agar dapat mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin.

''Seramai 1,305 warga sekolah bersatu hati bagi mengutip dana ini untuk digunakan sepenuhnya bagi meringankan beban mangsa serangan di Palestin.

''Di samping itu, ia juga merupakan langkah memupuk semangat kecintaan serta tolong-menolong terhadap manusia sejagat yang menghadapi penderitaan akibat peperangan di kalangan para pelajar serta tenaga pengajar di sekolah ini," katanya di sini hari ini.

Sumbangan cek yang bernilai RM2,100 itu akan disalurkan ke Tabung Dakap yang ditubuhkan hasil kerjasama Kumpulan Utusan dengan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Kalsom Khalid menyampaikan cek berkenaan kepada wakil Utusan Malaysia, Mohammad Yasir Jaafar sambil disaksikan Maznah Yusof .

Maznah berkata, penderitaan yang dialami rakyat Palestin terutama kanak-kanak dan golongan wanita begitu dirasai oleh warga sekolahnya sehingga melahirkan rasa keinsafan di kalangan mereka.

Beliau berharap agar inisiatif yang dilakukan oleh pihaknya dapat menggalakkan sekolah-sekolah lain di negeri ini untuk menyumbang membantu rakyat Palestin.

Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2009

Tiada ulasan: