Rabu, 6 Julai 2011

12,000 guru jalani latihan bahasa Inggeris

SEREMBAN 5 Julai - Sebanyak 12,000 guru yang mengajar bahasa Inggeris telah menjalani kursus bagi meningkatkan kemahiran dan skil mereka sejak tahun lalu dengan 10,000 lagi guru disasarkan pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program latihan semula secara besar-besaran itu membabitkan guru yang tidak berkelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) yang telah mengajar subjek itu secara 'tidak rasmi' di sekolah selama ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kursus tersebut termasuk Proficiency and Pedagogy Enhancement dan Certificate in the Practise of English Language Teaching (ELT) selama 14 minggu.

"Usaha-usaha sedang dilakukan bagi mentauliahkan kursus ini menjadi kredit yang boleh dipindahkan kepada ijazah asas.

"Kursus ini adalah sebahagian daripada program yang dibuat bagi menjayakan dasar MemartabatkanBahasaMalaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan English Language Teaching Centre (ELTC) dan Bahagian Pendidikan Guru (TED) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Seramai 300 guru dari seluruh negara menghadiri persidangan selama dua hari itu yang bertemakan Mengukuhkan Bahasa Inggeris Melalui Pembangunan Guru Profesional.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Pengarah TED, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman dan Pengarah ELTC, Choong Kam Foong.

Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kualiti latihan di kalangan pelatih guru bahasa Inggeris di Institut Latihan Perguruan (IPG), semua pensyarah dikehendaki menghadiri kursus pensijilan pengajar yang dijalankan oleh ELTC bersama Kolej Universiti St. John dan St. Mark di United Kingdom.

"Ini adalah program yang sangat bermakna memandangkan ia adalah kali pertama kursus diadakan untuk melatih dan mengiktiraf pengajar," ujarnya.

Beliau memberitahu, kementerian juga sedang melaksanakan penugasan semula para guru di tempat yang diperlukan.

Dalam hal itu, katanya, kementerian sedang menimbangkan pilihan untuk mewujudkan 'guru bahasa Inggeris bergerak' dan guru mentor.

Menurutnya, bermula tahun ini penempatan guru yang baru keluar dari IPG atau universiti akan dibuat sepenuhnya mengikut keperluan sesebuah sekolah.


Utusan Malaysia Online: 6 Julai 2011

Tiada ulasan: