Rabu, 27 Julai 2011

TPM lancar Sekolah Dalam Hospital


Guru Sekolah Dalam Hospital, Muhammad Sufyan Bujang berbincang dengan anak-anak muridnya sewaktu majlis pelancaran Sekolah Dalam Hospital di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program perintis Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang melibatkan tiga buah hospital di Lembah Klang.

Tiga hospital terbabit ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Penubuhan SDH di tiga sekolah berkenaan yang juga dikenali dengan Projek Hati Nurani adalah hasil kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin di dalam ucapan pelancarannya di Institut Pediatrik, HKL di sini berkata, objektif utama SDH adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja termasuk mereka yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka berada,’’ katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga penaung projek, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam ucapannya Muhyiddin turut mengucapkan penghargaan kepada isterinya kerana mengingatkan beliau supaya tidak mengabaikan masa depan pelajar-pelajar yang menerima rawatan di hospital.

‘‘Oleh itu, apabila isteri saya menyatakan hasrat untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada golongan ini, saya bukan sekadar menyokong 100 peratus malah lebih daripada 200 peratus.

‘‘Ini bukan disebabkan cadangan ini datang daripada isteri saya tetapi sememangnya ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita semua demi kelangsungan masa depan kanak-kanak ini,’’ katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SDH merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang berbeza daripada sekolah biasa.

Ujarnya, di sekolah tersebut para pelajar akan menimba ilmu melalui pendekatan belajar secara menyeronokkan dan santai.

‘‘Persekitaran pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna warni merupakan terapi semulajadi bagi pelajar dan kanak-kanak di hospital.

‘‘Sekurang-kurangnya sesi pelajaran yang menarik dan diselang-selikan dengan permainan akan dapat membantu menghilangkan rasa bosan mereka apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital,’’ katanya lagi.

Seperkara lagi beliau berkata, kewujudan SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa apabila terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital.

‘‘Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.,’’ katanya lagi.

Sementara itu pada sidang akhbarnya Muhyiddin berkata, sekolah itu telah memulakan sesinya di tiga hospital terlibat sejak dua minggu lalu.

‘‘Pihak kementerian telah menyediakan 16 guru terpilih untuk memastikan projek SDH dapat dijalankan dengan baik. Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka kerana sanggup menyahut cabaran kerajaan merealisasikan usaha murni ini.

‘‘Kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan korporat kami mengalu-alukan sekiranya mereka sedia membantu kami memperluaskan projek ini di hospital-hospital terutama di hospital besar di setiap negeri,’’ katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 27 Julai 2011

Tiada ulasan: