Jumaat, 1 Julai 2011

Kemas kini ilmu

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/07/01

Guru BI kenal pasti kelemahan murid, lebih kreatif dalam pengajaran

GURU mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) perlu mengenal pasti kelemahan dan kekuatan murid supaya mereka boleh mengajar secara berkesan sekali gus membantu golongan sasar menguasai kemahiran itu pada peringkat usia tertentu.
Presiden, Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM), Tan Sri Yahaya Ibrahim, berkata tugas guru BI bukannya menghabiskan sukatan mata pelajaran pada masa ditentukan, sebaliknya mengenal pasti tahap penguasaan dan penerimaan murid.
Beliau yang juga bekas nazir berkata, tugas guru BI ialah memberi kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa berkenaan, sesuai dengan peringkat umur.

Pada masa sama katanya, guru juga perlu kreatif menyampaikan kandungan subjek itu seperti menerusi nyanyian, lakonan atau perbahasan. Pendekatan ini menjadikan proses pengajaran pengajaran dan pembelajaran lebih menarik.

“Tidak guna guru berjaya menamatkan sukatan mata pelajaran pada hujung tahun tetapi muridnya tidak menguasai kemahiran yang hendak disampaikan,” katanya selepas Majlis Kesyukuran Penerbitan Filem Dokumentari Maktab Kirkby di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dokumentari terbitan Filem Negara Malaysia itu memaparkan sejarah penubuhan dan latihan guru di Malayan Teachers Training College Kirkby di Liverpool, England antara 1951 hingga 1962.
Yahaya berkata, guru biasa yang mengajar apa saja subjek boleh muncul sebagai guru cemerlang dan dinaikkan pangkat sebagai Guru Wibawa dan Pendeta Guru jika mereka menunjukkan disiplin yang tinggi dan komited terhadap tugas.

Selain itu, katanya, mereka juga perlu sentiasa berfikiran kreatif dan kritikal supaya sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan pengajaran yang menggunakan teknologi tinggi.

“Mereka bermula sebagai guru biasa tetapi mereka mesti sentiasa mengemas kini ilmu dan mempertingkat kemahiran hingga menjadi guru yang lebih baik dan kemudian guru paling baik,” katanya.

Berita Harian Online: 1 Julai 2011

Tiada ulasan: