2011/07/27
BARU-BARU ini anak lelaki saya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, Seremban dikenakan tindakan kerana rambut panjang dan berfesyen (menggunakan gel dan berwarna ala punk).Sebagai bapa, saya sudah beberapa kali mengingatkan dan menyuruhnya membetulkan semula fesyen rambut itu supaya tidak melanggar peraturan sekolah tetapi tidak diendahkan.
Setiap penjaga memang mengharapkan yang terbaik daripada anak mereka dalam apa jua aspek termasuk disiplin. Saya mungkin antara bapa yang prihatin dalam hal disiplin pelajar tetapi tidak berupaya membendung budaya negatif yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk anak saya.
Nasihat dan peringatan ibu bapa tidak memberi banyak kesan akibat pengaruh sekeliling termasuk rakan sebaya. Pelajar sangat mudah menerima dan meniru apa saja yang menjadi ikutan rakan seangkatan mereka termasuk pengaruh negatif.
Budaya merokok, melepak dan membuang masa, ponteng sekolah, merempit, berpeleseran, berfesyen mencolok mata dan sebagainya antara fenomena yang sangat mudah meresapi jiwa pelajar.
Tidak semua ibu bapa mempunyai kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak dalam era masa kini yang sangat terdedah dengan bermacam pengaruh. Jika pihak sekolah tidak dapat menangani dengan tegas dan berterusan maka pelajar akan hanyut dengan keseronokan dunia ciptaan mereka.
Sebagai institusi pendidikan yang diberi amanah mendidik anak bangsa, sekolah bukan saja untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi cemerlang juga sahsiah, budi pekerti dan kuat jati dirinya.
Ibu bapa hanya mampu memberi nasihat dan peringatan tetapi di peringkat sekolah, saya percaya mereka ada saluran betul untuk memperelok sahsiah pelajar seperti guru kelas, guru kaunseling, guru disiplin, program motivasi dan sebagainya. Mereka adalah pemain penting dalam membentuk disiplin pelajar.
Saya percaya ibu bapa lain juga bersetuju dengan saya dalam hal ini. Teruskan usaha murni ini supaya anak generasi masa depan ini terbentuk jiwa nurani mereka dengan cemerlang.
KEW,
Seremban
Berita Harian Online: 27 Julai 2011
3 ulasan:
Sebagai ibubapa prihatin kita cuma memastikan tidak akan berlaku penyalahgunaan penguatkuasaan Peraturan dan Pekeliling Kerajaan dalam premis sekolah.
Contohnya E-Disiplin.
Alhamdullah...kalau semua ibu bapa seperti saudara kita ini, saya yakin masalah disiplin pelajar akan dpt dikurangkan dgn banyak..
Ini tidak, bila cikgu ertindak sikit, lapor polis, saman dan serang guru. Pasaltulah anak-anak mereka ini ramai yg jadi iblis & syaitan.
Pernah ada seorang murid datang ke sekolah berambut panjang. Selepas beri teguran agar memotong rambut beberapa kali, sebagai guru kelas saya kata nanti guru disiplin akan potong rambutnya jika masih tak nak potong. Murid tu jawab "jangan siapa-siapa berani potong rambut saya, nanti mak saya akan saman". Murid tu Tahun 5. Ibunya guru besar sekolah lain. Bayangkan, budak umur 11 tahun boleh menjawab begitu, di sekolah luar bandar pulak.
Catat Ulasan