Rabu, 27 Julai 2011

Guru perlu tambah ilmu teknologi hijau



MOHD. Ali Rustam menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 di Kolej Yayasan Saad, kelmarin.


MELAKA 26 Julai - Golongan pendidik sama ada di peringkat rendah atau menengah di negeri ini digesa memperkayakan ilmu pengetahuan mengenai teknologi hijau dengan menghadiri seminar atau program berkaitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penglibatan guru amat penting dalam memberikan kefahaman kepada para pelajar mengenai teknologi hijau selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Menurutnya, setiap masyarakat dari pelbagai lapisan umur perlu faham mengenai teknologi baru yang akan diperkenalkan itu bagi memastikan keberkesanan ketika dilaksanakannya kelak.

''Dalam menjayakan misi ini, setiap masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan perlu turut menyumbang ke arah menjayakannya, justeru itu semua mesti benar-benar faham mengenai teknologi hijau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah di Kolej Yayasan Saad di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo.

Kata Mohd. Ali, para guru perlu memberi penekanan kepada murid mereka dalam aspek penjagaan kebersihan dan kepentingan mengitar semula barangan terpakai sebagai langkah permulaan memperkenalkan mereka kepada aspek lain dalam teknologi hijau.

''Aspek penjagaan kebersihan ini adalah amat penting ke arah mewujudkan bandar teknologi hijau dan ia perlu diberi penekanan sejak di bangku sekolah lagi," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 550 guru dan kakitangan sekolah dalam daerah Melaka Tengah yang didapati mempamerkan mutu kerja yang cemerlang sepanjang tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 27 Julai 2011

Tiada ulasan: