Sabtu, 30 Julai 2011

Keliru pensyarah IPG miliki PhD tidak tersenarai cemerlang

2011/07/30

AWAL tahun ini Kementerian Pelajaran mengiklankan Pensyarah Cemerlang 2011 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang bertugas di Institut Pendidikan Guru (IPG). Baru-baru ini, IPG dan Jemaah Nazir menjalankan penyeliaan dan penilaian terhadap pensyarah yang terpilih.

Persoalan yang timbul ialah mengapa ada pensyarah IPG yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak terpilih untuk diselia dan dinilai dalam bidang kepakaran yang dimohon, sedangkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan. KPM menyatakan margin yang tinggi diberikan kepada PPPS yang memiliki ijazah PhD dalam laluan kerjaya pensyarah atau guru cemerlang tetapi nampaknya penetapan ini tidak membawa makna apa-apa kepada PPPS PhD di IPG.
Dari segi penguasaan ilmu dalam bidang kepakaran yang dimohon, sudah pasti pensyarah yang memiliki PhD dalam bidang yang dipohon menguasai ilmu berkenaan lebih baik daripada pensyarah yang tidak memiliki ijazah kedua dan ketiga dalam bidang itu.

Ada pensyarah yang dipilih memiliki ijazah pertama dalam bidang yang dimohon tetapi ijazah kedua dalam bidang lain. Ini bertentangan visi IPG seperti yang diuar-uarkan oleh IPG sendiri.

Ada juga pensyarah yang terpilih tidak menghasilkan apa-apa penyelidikan, penulisan atau penerbitan buku atau artikel, tidak membentangkan kertas kerja pada sebarang peringkat sama ada kebangsaan, zon atau antarabangsa.
Pihak rektor IPG dan Jemaah Nazir perlu melihat semula perkara ini.

Beri ruang kepada pensyarah PhD di IPG untuk diselia dan dinilai kebolehan dan kepakaran mereka, ketepikan perasaan kronisme dan bersikap telus.

PHD KECEWA,
Alor Setar, Kedah


Berita Harian Online: 30 Julai 2011

4 ulasan:

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Bagaimana mungkin seorang pensyarah yang tidak menunjukkan sebarang kredibiliti dalam menghasilkan apa-apa penyelidikan, penulisan atau penerbitan buku atau artikel, tidak membentangkan kertas kerja pada sebarang peringkat sama ada kebangsaan, zon atau antarabangsa dicalonkan dan TERSENARAI sebagai Pensyarah Cemerlang?

DUNIA akademik sebenarnya menuntut kita bukan sahaja berilmu, berintergriti dan beretika, bahkan menjadi penjana, pembina ilmu dan akal budi, sekali gus pembentuk sahsiah bakal Guru. Sesungguhnya, dunia akademik perlu menjadi ikon yang disegani oleh masyarakat kerana ketinggian jati diri dan integriti yang tiada tolok bandingnya.

guru lama berkata...

Perjawatan di KPM macam Filem Keluarga 69

Tanpa Nama berkata...

Sabar dulu..bagi org lama merasa..awak masih muda ada PHD lagi.
Kadangkala penilaian kita tak sama dgn mereka yg menilai. Setiap org ada kelebihan dan kekurangan. Kelebihan itu yg kita nilai, bukan kekurangan yg ditonjolkan.

Tanpa Nama berkata...

Bukan semua pemegang PhD memberi sumbangan secara efektif dan berterusan terhadap kemajuan pelajar melalui proses p&p. Kenyataan ini adalah benar. Ada ramai pensyarah pemegang Ijazah Sarjana yang telah memberi sumbangan jauh lebih banyak berbanding dengan yang mempunyai ijazah kedoktorn.