Isnin, 18 Julai 2011

SMK Sultanah Asma Juara Pancaragam Sekolah 2011

KUALA LUMPUR 17 Julai (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Kedah, muncul juara Pertandingan Pancaragam Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2011 dengan persembahan penuh bertenaga di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini Ahad.

Sekolah tersebut pernah muncul sebagai johan dalam pertandingan sama pada 1999, 2003, 2007 dan 2009.

Pasukan pancaragam SMK Sultanah Asma yang berjaya mengalahkan 10 pasukan lain itu, membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil, pingat dan trofi.

Pasukan tersebut membuat persembahan bertemakan semangat pahlawan China, 'Mulan' turut menerima Sijil Anugerah Emas.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sekolah tersebut turut menggondol hadiah 'hornline', 'percussion' dan 'colour guard' terbaik.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi SMK St John, Kuala Lumpur yang membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, pingat dan trofi, manakala tempat ketiga dimenangi Kolej Sultan Abdul Halim, Kedah dan membawa pulang wang tunai RM2,000.

Pertandingan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan menggalakkan penubuhan pasukan pancaragam di sekolah selain meningkatkan minat pelajar dalam kegiatan itu.

--BERNAMA

BERNAMA: 18 Julai 2011

Tiada ulasan: