Rabu, 6 Julai 2011

Wujud guru BI bergerak

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/07/06

Kementerian Pelajaran mahu perkasakan dasar MBMMBI

SEREMBAN: Guru Bahasa Inggeris (BI) berkelayakan yang mampu mengajar dengan baik mungkin diserap dalam kumpulan khas 'guru bergerak' yang akan dihantar ke sekolah tertentu yang memerlukan khidmat mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya mengkaji untuk mewujudkan kumpulan ‘guru BI dan guru mentor bergerak’ untuk memperkasakan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Kementerian Pelajaran ketika ini dalam proses melaksanakan penempatan semula guru bagi menampung kekurangan guru BI di sekolah berhampiran yang memerlukan khidmat mereka.

“Dalam usaha ini, kementerian turut mengkaji pilihan bagi mewujudkan kumpulan guru BI serta guru mentor bergerak,” katanya dalam ucapan perasmian dibacakan timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong, pada majlis perasmian Persidangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC)– Bahagian Pendidikan Guru (TED) di sini, semalam.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang akan dimansuhkan tahun depan selepas didapati gagal mencapai matlamat meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar, sebaliknya menjejaskan pencapaian pelajar luar bandar dalam subjek itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada tahun ini juga, penempatan guru BI yang baru akan dilakukan dengan peraturan lebih ketat mengikut tahap keperluan di sekolah seluruh negara.
Bagi memastikan kejayaan dasar MBMMBI, beliau berkata, kementerian juga menawarkan kontrak tiga tahun kepada 600 bekas guru BI bersara dengan 168 daripada mereka sudah mula mengajar.

Katanya, kementerian juga akan membina makmal BI di 700 sekolah selepas melihat keberkesanan projek perintis di 20 sekolah tahun lalu.

“Sehingga kini 12,000 guru BI tidak terlatih mengikuti program latihan semula untuk meningkatkan kemahiran, manakala 10,000 guru lagi dijangka mengikuti program itu tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong pada sidang media berkata, kementeriannya sedang mengkaji kaedah jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan guru menggantikan guru bersalin di banyak sekolah di seluruh negara.

“Ini bukan masalah kecil, kita memandang serius perkara ini dan mahu satu kaedah berkesan untuk mengatasinya supaya proses pembelajaran tidak terjejas.

“Antara masalah utama dikenal pasti adalah kekurangan peruntukan menempatkan guru ganti dan kita sedang berusaha memohon Kementerian Kewangan menambah peruntukan berkenaan,” katanya.

Berita Harian Online: 6 Julai 2011

Tiada ulasan: