Jumaat, 29 Julai 2011

Guru bersara dibawa naik kereta kuda keliling sekolah



KAMARUDDIN Chik diarak dengan kereta kuda sempena majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu kelmarin. - UTUSAN/FAUZI MOHD


KUALA TERENGGANU 28 Julai - Mengakhiri kerjaya selama hampir 35 tahun bukanlah sesuatu yang menyedihkan bagi Kamaruddin Chik.

Tetapi apabila memikirkan dia akan semakin jauh dengan para pelajar, hatinya mudah tersentuh.

Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I itu meluahkan bahawa beliau merasakan begitu berat untuk melangkah keluar dari pekarangan sekolah pada majlis persaraannya semalam.

Kamaruddin, 58, yang berasal dari Kampung Banggol Pauh, dekat sini diraikan oleh lebih 1,400 warga sekolah dan kemudiannya dibawa menaiki kereta kuda mengelilingi pekarangan sekolah sebelum ke Hotel Primula bagi jamuan tengah hari.

"Bimbinglah generasi sedia ada tanpa perasaan jemu kerana pelajar dan ibu bapa sentiasa percaya perubahan sikap dan masa hadapan bermula dari zaman persekolahan.

"Walaupun ada masalah, tanganilah dengan bijak tanpa menjejaskan hubungan baik dengan masyarakat sekeliling," katanya ketika berucap pada majlis di dewan sekolah itu.

Kamaruddin memulakan kerjaya dalam bidang perguruan pada 1 Januari 1977 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, dekat sini selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris.

Beliau yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni itu kemudiannya bertukar ke SMK Bukit Tunggal (1982-1999) dan naik pangkat sebagai Guru Penolong Kanan di SK Rusila, Marang (1999-2004) dan seterusnya ke SK Sultan Sulaiman I bermula tahun 2004.

Sepanjang perkhidmatannya, Kamaruddin pernah menerima Anugerah Khas Pejabat Pelajaran Daerah pada tahun 2009 dan Sijil Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1994, 2003 dan 2007.

Utusan Malaysia Online: 29 Ogos 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Benda camni pun nak masuk paper ka ?