Khamis, 21 Julai 2011

Kelucahan melampau: Hukuman penjara 8 bulan guru kekal

ALOR SETAR 20 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang guru untuk mengetepikan hukuman penjara lapan bulan setelah disabitkan bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap dua anak muridnya, lapan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan demikian setelah mendapati keputusan Mahkamah Sesyen di sini adalah patut dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Mohammad Nizar Shuib, 30.

''Saya telah meneliti nota-nota keterangan dan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap perayu.

''Oleh itu saya memutuskan bahawa hukuman terhadap perayu adalah sesuai dan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara terhadap perayu ditolak,'' kata Mohd. Zaki.

Mohammad Nizar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Maznah Abd. Aziz yang menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadapnya pada 9 Mei tahun lalu.

Dia didapati bersalah merangsang dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bagi tujuan melakukan suatu perbuatan melampau ke atasnya di sebuah rumah bernombor 497, Taman Siswa 2, Jalan Universiti, Jitra.

Perbuatan tersebut dilakukan antara Mei 2003 hingga April 2004.

Tertuduh pada ketika itu ialah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Bandar Darul Aman, Jitra dan mengajar kelas tuisyen Bahasa Inggeris kepada dua mangsa tersebut. Dia digantung kerja sejak dihadapkan ke mahkamah pada 2004.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim manakala tertuduh diwakili oleh peguam, G. Ravishankar.

Mahkamah mengekalkan ikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keterangan kepada Mahkamah Sesyen, kedua-dua mangsa mendakwa Mohammad Nizar memberi amaran kepada mereka supaya perbuatannya itu tidak diberitahu kepada sesiapapun tetapi selepas dipaksa ibu bapa masing-masing, mereka telah memberitahu perkara sebenar.

Utusan Malaysia Online: 21 Julai 2011

Tiada ulasan: