Rabu, 20 Julai 2011

60 guru sertai konvoi Moh Ke Rompin


ADNAN Abdul Kadir (kanan) melepaskan peserta konvoi Moh Ke Rompin di pekarangan Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 19 Julai - Seramai 60 warga pendidik daerah ini menyertai konvoi Moh Ke Rompin sempena sambutan Hari Guru peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut (PPDJ) bermula baru-baru ini.

Pegawai PPDJ, Adnan Abdul Kadir berkata, konvoi kali kedua itu diadakan selama tiga hari dan merupakan salah satu program yang terkandung dalam jadual sambutan Hari Guru tahun ini.

"Para peserta terdiri daripada guru dan kakitangan PPDJ dengan menunggang motosikal berkuasa 150 cc ke bawah serta lima motosikal berkuasa tinggi yang bertindak sebagai pengawal keselamatan.

"Saya kagum melihat para peserta begitu bersemangat menunggang motosikal biarpun jaraknya melebihi 250 kilometer," katanya kepada pemberita selepas upacara pelepasan konvoi di pekarangan PPDJ di sini.

Adnan berkata, konvoi tersebut diadakan bertujuan mengeratkan hubungan para guru dengan masyarakat di samping berkongsi ilmu dengan para pelajar sekolah di luar daerah ini.

Katanya, pada masa sama para guru terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan selain melahirkan warga pendidik yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental.

"Konvoi itu dapat mendidik para guru menunggang motosikal dengan cara yang betul dan selamat mengikut undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Katanya, beberapa aktiviti dijalankan sepanjang berada di Rompin seperti ceramah motivasi, pertandingan memancing dan woodball serta sesi bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Leban Chondong.

Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2011

Tiada ulasan: