Khamis, 7 Julai 2011

Bapa dakwa guru cuai

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Seorang murid tahun dua yang mengikuti latihan sukan sekolah, kini bertarung nyawa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat disengat tebuan pada 20 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Muhamad Al-Amin Ibrahim, 8, dari Kampung Darat Sungai Ular bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, di sini, belum sedarkan diri akibat cedera di kepala, leher, rusuk, lengan dan belakang badan.


Bapa angkat mangsa, Aziz Mamat, 49, berkata dia mendapat tahu kejadian terbabit melalui isterinya, Rosilawati Abdul Rahman, 39, sebelum bergegas pulang ke rumah.

“Isteri memberitahu dia yang berada di rumah didatangi guru yang membawa anak kami pulang dan memberitahu dia disengat tebuan sebelum mendapati keadaannya separuh sedar.


“Isteri bertanyakan mengenai kejadian terbabit, namun guru memberitahu anak kami disengat di luar kawasan sekolah padahal sarang tebuan itu berada di sebuah bangunan sekolah itu,” katanya.


Menurutnya, melihat keadaan dan rupa anaknya bertukar kebiruan dia membawanya ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dipindahkan ke HTAA.

Katanya, sehingga kini, anaknya sudah 18 hari menerima rawatan dan dipercayai paru-parunya dijangkiti kuman.


Aziz berkata, susulan itu dia merujuk Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang untuk mengambil tindakan lanjut berikutan kecuaian guru yang mendakwa lambat menghantar anaknya ke HTAA Kuantan.

“Saya sedih apabila melihat keadaannya ketika menerima rawatan yang menyeksakan.


“Bayangkan 10 sengatan tebuan sehingga menyebabkan bisa serangga itu merebak ke paru-parunya,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, dia difahamkan, sarang tebuan itu yang berada di bangunan sekolah sudah dibuang sepasukan anggota bomba dan penyelamat sehari selepas kejadian terbabit.


Menurutnya, dia sudah membuat surat aduan untuk diserahkan kepada Pengarah JPN selain akan mengambil tindakan undang-undang selepas mendapati kecuaian berlaku dalam sekolah berkenaan.

myMotro: 7 Julai 2011

1 ulasan:

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Premis Entiti sekolah adalah dibawah bidang kuasa Pengetua / Guru Besar Sekolah berkenaan.

Apakah Guru Besar di sekolah ini dibawah sedar sehingga SARANG TEBUAN pun tak nampak???

Sesuatu yang nampak membahayakan pelajar dan guru perlu dicegah ... jangan diserah perkara ini untuk tindakan Pekerja Awam sahaja ....

Pengerusi PIBG tak datang menjenguk sekolah ???