Khamis, 28 Julai 2011

Guru bersalin tidak diganti jejas proses pelajaran anak

2011/07/28

JADUAL persekolahan kini memasuki penggal kedua. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi murid Tingkatan Tiga, Lima dan prauniversiti akan menghadapi peperiksaan besar yang akan menentukan hala tuju hidup mereka.

Satu perkara yang ingin saya utarakan dan diharap Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran mengambil tindakan segera ialah guru ganti bagi guru yang cuti bersalin.
Mengikut pengamatan saya di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur, ada lebih daripada lima guru cuti bersalin dan terdapat tiga atau empat orang lagi yang menunggu masa untuk bersalin. Malang sekali bagi sekolah berkenaan kerana tiada guru ganti yang disediakan bagi guru yang akan cuti bersalin.

Apabila soalan diajukan kepada pihak sekolah, mereka menyatakan pihak jabatan tiada peruntukan untuk membayar gaji guru ganti. Kenapa tiada peruntukan untuk pendidikan anak? Jika kita perhatikan banyak peruntukan kerajaan dibelanjakan untuk sektor lain yang pada perkiraan saya tidak sepenting pendidikan.

Yang menjadi mangsa ialah anak kami yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi sedangkan sesi persekolahan penggal dua baru bermula. Guru bersalin pula mengambil cuti selama tiga bulan.

Banyak topik belum diajar kepada murid. Guru yang cuti bersalin akan memulakan tugas mereka paling awal pada September dan pada masa itu peperiksaan percubaan sudah bermula.

Pelajar diberi guru sementara untuk mengawal kelas dan kalau ada pun guru ganti yang mengajar kelas mereka, guru terbabit turut dibebani dengan tugas lain yang terpaksa dipikul.
Saya berharap Kementerian Pelajaran boleh mempertimbangkan pengambilan guru ganti bagi guru yang bersalin agar proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lancar.

NORIAH HARUN,
Selayang Baru, Batu Caves

Berita Harian Online: 28 Julai 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa samapai JPN tak ada duit nak byar gaji guru? Perkara ini berlaku sejak 2-3 th ini shj. Tak pernah berlaku sebelum ini. Kenapa terlalu banyak peruntukan kepada JPN dipotong.
Ke mana perginya wang tersebut?

Tanpa Nama berkata...

Claim dri bulan April sampai skrg pun tak dpt lagi?