Sabtu, 23 Julai 2011

Guru kena bijak manfaatkan Facebook

2011/07/23

SEBAGAI ahli akademik, saya berpendapat sebelum teknologi digunakan sebagai alat bantuan pendidikan, ia hendaklah terlebih dulu dijadikan satu budaya dalam masyarakat sekolah.

Guru mungkin boleh mengambil kesempatan daripada laman sosial, Facebook yang sedang melanda remaja pada hari ini termasuk pelajar sekolah. Saya yakin majoriti pelajar sekolah mempunyai akaun Facebook masing-masing.

Justeru, guru boleh mengemukakan sesuatu topik dan soalan yang boleh dibincangkan sesama pelajar. Saya yakin pelajar akan teruja untuk menjawab soalan dikemukakan guru mereka sendiri.

Pendekatan berbentuk forum di atas talian ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di universiti, malah pembabitan pelajar dalam forum itu juga turut dikira dalam pemberian markah kursus secara keseluruhan.

Jadi saya rasa tiada salahnya pendekatan sedemikian dipraktikkan di sekolah, apatah lagi dalam era teknologi maklumat pada hari ini. Penggunaan laman sosial Facebook ini juga mendatangkan impak baik dari segi pengetahuan pelajar terhadap komputer.

Guru boleh menggalakkan pelajar menggunakan alat bantu mengajar termasuk perisian pembelajaran disediakan Kementerian Pelajaran untuk belajar secara bersendirian supaya ia menjadi kebiasaan dan seterusnya dianggap sebagai bantuan dan bukannya bebanan.

Perdana Menteri ketika Konvensyen Guru Muda 2011 baru-baru ini menyatakan pelajar sekolah perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning. Menurut beliau, guru perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya murid mereka tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran.
Salah satu adaptasi ialah menggunakan teknologi maklumat kerana guru muda hari ini dibesarkan dan dididik dalam era teknologi maklumat.

Jadi menjadi tanggungjawab mereka untuk meneruskan kesinambungan penggunaan teknologi maklumat khususnya dalam pembelajaran kerana mereka penggerak transformasi pendidikan negara yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian Online: 23 Julai 2011

Tiada ulasan: