Selasa, 12 Julai 2011

GTP: Warga pendidik perlu bersedia hadapi cabaran

Oleh Nik Sukry Ramli

2011/07/12

EMPAT nilai asas perlu dipupuk dalam kalangan warga pendidik bagi menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), sebagai persediaan berhadapan senario pendidikan yang semakin mencabar.

Rektor Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, Datuk Dr Haili Dolhan, berkata proses tranformasi penting bagi memastikan tema sambutan Hari Guru tahun ini, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ terlaksana.

Empat teras itu kata beliau, membabitkan proses pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga pendidik. Seterusnya, sebagai warga pendidik mereka perlu cepat dan rasional dalam membuat keputusan.

“Perkara ketiga perlu diberi perhatian ialah setiap langkah atau tindakan perlu mempunyai nilai serta berfungsi sejajar kos dibelanjakan.

“Ini perkara penting dan selalunya merunsingkan kita di peringkat kementerian. Sebagai contoh, kita membelanjakan peruntukan yang besar menyediakan alat bantuan mengajar di sekolah, namun agak mengecewakan apabila mendapati berlaku kerosakan kerana tidak digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Dr Maznah Abd Samad dan Timbalan Pengarahnya, Giam Kah How.
Dalam majlis itu, seramai 14 kakitangan akademik dan sokongan menerima APC; tujuh menerima Anugerah Khas IPG Kampus Bahasa Antarabangsa 2010 dan lima menerima Anugerah Suri Teladan.

Bagi penerima Anugerah Khas (Pensyarah Paling Komited), C Varugheese, berkata dia perlu bertanggungjawab mendidik bakal guru kerana mereka adalah orang yang diamanahkan untuk membimbing anak bangsa.

“Pengalaman sebagai guru sebelum ini memberi semangat kepada saya membekalkan mereka pengetahuan secukupnya. Perubahan sikap penting untuk menjadi warga pendidik berjaya dan dihormati.

“Tidak dinafikan, ada bakal pendidik bersikap sambil lewa, namun ia tidak menggambarkan keseluruhan mereka. Pada saya, sekiranya mereka benar-benar hendak menjadi pendidik, sudah pasti sikap seperti itu tidak wujud dalam diri,” katanya.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Khas (Kepemimpinan Kakitangan Sokongan), Mohd Kamal Sujak, berkata hubungan baik antara kakitangan bawahan dan atasan penting bagi memastikan sesebuah institusi berjaya serta dihormati.

“Perkara itu menjadi agenda utama saya sejak mula dilantik memegang jawatan ini. Saya sentiasa mencari ruang berbincang dengan 67 kakitangan jika mereka perkara yang perlu diperbaiki terutama membabitkan tugasan,” katanya.

Berita Harian Online: 12 Jualai 2011

Tiada ulasan: