Jumaat, 14 November 2008

2,008 kelas prasekolah diwujud di luar bandar

SEBANYAK 2,008 kelas prasekolah diwujudkan di kawasan luar bandar sehingga bulan lalu, sekali gus mampu menyediakan 50,200 peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak berumur lima dan enam tahun termasuk anak orang Asli dan Penan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md Deni, berkata setiap kelas terbabit dikendalikan guru terlatih serta dilengkapi dua komputer bagi memastikan pendedahan literasi komputer pada peringkat awal.

Beliau berkata, usaha memperluas penyediaan pendidikan prasekolah itu antara pencapaian membanggakan projek pembangunan luar bandar Kementerian Pelajaran bagi menjayakan Teras Keempat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP): Merapatkan Jurang Pendidikan.

“Komitmen kementerian menghasilkan kemajuan memberangsangkan dalam pelaksanaan projek merapat jurang pendidikan disebabkan perbezaan lokasi, tahap sosio ekonomi dan keupayaan murid.

“Sehingga bulan lalu, kementerian berjaya menyiapkan 3,273 projek, sementara 3,897 lagi dalam pembinaan dan 4,753 peringkat prabina,” katanya menerusi kenyataan akhbar, baru-baru ini.

Fatimah berkata, bagi meningkatkan akses dan kualiti pendidikan, kementerian melaksanakan projek bangunan sekolah baru, tambahan dan gantian termasuk kemudahan asrama pelajar serta rumah guru yang dilengkapi perabot.

Pada peringkat rendah, katanya, 108 projek siap dan 968 dalam pembinaan serta prabina, manakala bagi peringkat menengah pula 120 projek siap dan 356 lagi dalam pembinaan serta prabina.

“Bagi ubah suai dan naik taraf sekolah sedia ada, semua 1,995 projek sekolah rendah dan 559 menengah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyediaan infrastruktur asas juga diutamakan terutama bekalan air bersih dan elektrik 24 jam menerusi Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar Sabah dan Sarawak.

Hingga bulan lalu, katanya, semua 85 projek bekalan air kini selesai, manakala bagi pelaksanaan projek bekalan elektrik, program rintis Sistem Solar Hibrid di 12 sekolah di Kalabakan, Tawau, kini diperluas kepada 78 sekolah di negeri sama dalam fasa satu.

“Dua daripada projek fasa satu sudah siap iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan dan SK Poring sementara bagi fasa dua, kementerian mendapat kelulusan tambahan RM400 juta bagi projek bekalan elektrik 24 jam kepada 103 sekolah luar bandar di Sabah.

“Di Sarawak, 427 projek bekalan elektrik sudah siap dan baki tiga dalam pembinaan. Sementara di Semenanjung, semua 226 projek bekalan air dalam pembinaan dan 65 projek bekalan elektrik pada peringkat prabina,” katanya.

Fatimah berkata, usaha merapat jurang digital dilaksanakan menerusi peningkatan akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi dengan penyediaan infrastruktur, perisian dan latihan termasuk pembinaan 2,670 makmal komputer serta lebih 3,000 pusat akses di sekolah seluruh negara.

Peluang pendidikan khas kepada lebih 19,000 murid istimewa juga tidak dilupakan termasuk meminda Peraturan Pendidikan Khas 1997 bagi membolehkan sekolah menerima murid dengan dua kecacatan.

Berita Harian Online: 13 November 2008

Tiada ulasan: